Merdeka!

Alhamdulillah. Syukur kerana aku hidup dalam sebuah negara yang bebas merdeka. Tiada belenggu penjajah. Tidak lagi dicucuk hidung lalu ditarik ke sana ke mari oleh mereka.

Perjuangan menuntut kemerdekaan ini penuh dengan ranjau dan duri. Ada diantara mereka yang terdahulu telah terkorban. Ada yang berjuang dengan darah dan air mata, ada yang telah merengkok dalam tahanan penjara, dizalimi British, Jepun dan kemudiannya British sekali lagi.

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan, namun jangan pula kita lupa akan pengorbanan mereka selain Tunku. Jangan lupa jasa Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy, Ahmad Boestamam, Ishak Hj Muhammad, Mokhtaruddin Lasso, Ibrahim Hj Muhammad, Almarhum Ustaz Abu Bakar al Baqir dan ramai lagi.

Kini kita telah semakin matang. Usia 49 tahun bukannya satu tempoh yang singkat. Pun begitu, dalam keadaan merdeka, kehidupan rakyat masih belum selesa. Kita mungkin telah jauh maju dan membangun berbanding tahun 1957 dan sebelumnya, namun kemerdekaan dalam erti kata sebenar masih jauh dan belum dapat dinikmati sepenuhnya.

Kebebasan bersuara masih disekat-sekat, rakyat yang berhimpun secara aman untuk memprotes dibelasah sehingga tercedera. Akhar-akhbar masih belum bebas malah terikat dengan kehendak satu pihak, tiada pandangan alternatif. Kos hidup rakyat semakin tinggi, pendapatan rakyat masih rendah. Negara telah diurus oleh anak bangsa lebih 49 tahun, namun anak bangsa marhaen yang kebanyakan masih hidup susah dan tertekan.

Harga minyak mahal, harga barangan tinggi, kos pendidikan lanjutan meningkat, kos pengangkutan lain termasuklah tol terus membakar lubang dikocek rakyat. Dan dalam pada itu kalangan pimpinan terlibat dengan rasuah, kronisme dan nepotisme. Kadar jenayah semakin meningkat kerana tiada kawalan terhadap unsur-unsur negatif dan gejala maksiat.

Kerana itu walaupun saya berbangga negara telah 49 tahun merdeka, saya masih belum berpuas hati dan akan terus mengharap agar kita akan meneliti semua kekurangan ini dan akhirnya bangun sederap dan selangkah secara berani untuk membuat perubahan demi agama,bangsa dan tanahair.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Post a Comment

Terbaru Lebih lama