Diam tak diam, Ramadhan sudah menjengah hari ke-17. Lebih kurang 1425 tahun yang lalu pada tanggal yang sama meletusnya pertempuran Badar; jihad peperangan pertama dalam sejarah perjuangan Islam.
Mungkin ramai yang kurang tahu (atau kurang berminat untuk mengambil tahu) tentang salah satu peristiwa penting dalam riwayat perkembangan Islam. Bermula dari peristiwa inilah, umat Islam bangkit dalam mempertahankan hak dan maruahnya dari ditindas.
Menurut sirah, tujuan asal kaum Muslimin pada masa itu bukanlah untuk berperang. Ianya bermula setelah sampai khabar ke Madinah bahawa rombongan perdagangan penduduk Makkah yang diketuai oleh Abu Sufyan sedang dalam perjalanan pulang. Ketika peristiwa Hijrah, harta benda sebilangan umat Islam yang ikut berpindah ke Madinah (Muhajjirin) telah dirampas oleh kaum Musyrikin Makkah dan kemudian telah dijual oleh mereka kepada saudagar-saudagar yang menyertai rombongan perdagangan Abu Sufyan ini.
Oleh kerana itu, kaum Muslimin mencadangkan kepada Rasulullah SAW supaya menahan perjalanan pulang rombongan perdagangan ini untuk mereka menuntut kembali hak yang telah dirampas. Mendengarkan hal ini, Abu Sufyan menghantar utusannya ke Makkah meminta pemimpin-pemimpin Quraisy di sana supaya menghantar bantuan untuk melindungi barang-barang dagang mereka.
Sejurus menerima berita cemas dari Abu Sufyan, pemuka-pemuka Quraisy mengarahkan agar dihimpunkan 1000 orang untuk dikerah bagi melindungi rombongan perdagangan yang sedang dalam perjalanan pulang ke Makkah itu.
Rombongan Quraisy (dikepalai Abu Jahal, Syaibah Bin Rabi'ah dan 'Utbah Bin Rabi'ah) ini akhirnya mengubah perencanaan mereka daripada menjadi pasukan pelindung kepada pasukan perang. Umat Islam yang hanya berbekalkan lebih kurang 300 (riwayat mengatakan 313) orang tiada pilihan lain selain mempertahankan diri.
Maka pada 17 Ramadhan tahun kedua Hijrah, pertempuran Badar meletus. Nyata sekali betapa besarnya kudrat manusia, jika berdepan dengan kekuatan taqwa dan iman, ia terlalu rapuh dan terlalu mudah untuk ditewaskan. Siapa sangka disebalik 313 tentera Muslimin menentang kemaraan hebat 1000 orang tentera kuffar yang lengkap dengan peralatan tenteranya, kemenangan berpihak kepada golongan yang kecil bilangannya.
Namun, itulah yang berlaku. Di sebalik rayuan Rasulullah SAW menadah tangannya ke langit, Allah SWT tidak membiarkan tangan itu terangkat begitu lama. Para malaikat turun dengan kekuatan yang tidak terjangkau oleh mata kasar manusia. Lalu, kaum Muslimin pulang ke Madinah dengan satu kejayaan yang menambahkan semangat juang dan memberikan satu lagi keyakinan bahawa pertolongan Allah pastinya bersama dengan mereka yang betaqwa.
(Muhammad : 7)
Hari ini, pasir-pasir di Badar telah pun kering daripada tumpahan darah manusia lebih 1425 tahun yang lampau. Hiruk pikuk peperangan dan laungan kemenangan kaum Muslimin tentunya sudah tenggelam ditelan masa yang begitu laju berlalu. Tiada lagi lontaran panah-panah dan pacuan kuda-kuda perang yang menukilkan kemenangan kepada tentera Muslimin, namun sejarah telah tercatat dengan kemas bahawa Badar adalah satu memori manis yang terbina buat azimat dan tangkal semangat kepada setiap yang ingin melihat agama ini kembali berdaulat di muka bumi.
Dimana kita dan perjuangan kita pada hari ini? Kini, kaum muslimin bukan lagi berjumlah 313 orang. Berbilion ramainya melata di seluruh muka bumi. Jika para Sahabat r.a. sanggup turun menentang kaum Musyrikin biar pun peluang untuk menang terlalu tipis, sekarang pula terlalu sedikit individu yang sanggup turun melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang manusia yang mengaku Islam. Kalangan kita sebenarnya lebih enak tidur di katil masing-masing daripada berlumur debu di medan perjuangan. Tepuk dada, tanya selera! Di mana kita?