Nik Adli Nik Aziz akhirnya bebas juga. Bebas setelah ditahan tanpa bicara lebih 5 tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim. Akta yang diwujudkan pada zaman darurat untuk mengawal kegiatan komunis ini kini disalahguna oleh kerajaan untuk menahan seseorang yang disyaki (ulang baca: disyaki) sebagai seseorang yang mengancam keselamatan negara. Antara yang pernah ditahan di bawah akta draconian ini ialah Anwar Ibrahim, Dr. Syed Husin Ali, Tian Chua dan Hishamuddin Rais (sekadar menyebut beberapa nama).
Mungkin ada yang tidak kenal siapa Nik Adli ini. Jika anda masih ingat, sekitar tahun 2001, Malaysia pernah kecoh dengan berita penangkapan sekumpulan lelaki yang dikatakan mempunyai pertalian dengan kumpulan Jamaah Islamiyyah dari Indonesia. Pada awalnya, kumpulan ini dikenali sebagai Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) sebelum manipulasi media menukarnya menjadi Kumpulan Militan Malaysia (entah apa motifnya ditekankan perkataan militan itu?). Nik Adli, anak lelaki kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan bertindak sebagai ketua yang memimpin kumpulan ini.
Namun demikian, sehingga semalam (hari pembebasan beliau), sekalipun beliau tidak pernah dibicarakan di mahkamah atas pertuduhan tersebut dan sehingga hari semalam tidak ada satu bukti pun yang ditemui untuk mengaitkan beliau dengan KMM.
Lima tahun terpisah dari keluarga tercinta. Lima tahun terkurung sebagai tahanan tanpa bicara. Lima tahun habis terbazir usia. Lima tahun. Dan semalam, penantian itu akhirnya berakhir.
Kepada pendukung-pendukung kebebasan: Nah! Ini hadiah buat kalian sempena Aidilfitri ini tahun ini.
Teruskan perjuangan. Bebaskan Malaysia!