Momentum kebangkitan rakyat yang tercetus hampir sedekad yang lalu selepas peristiwa pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri kini mulai dirasakan kembali. Bermula dengan siri-siri demonstrasi membantah kenaikan harga minyak diikuti dengan beberapa protes kenaikan kadar tol; gerakan kebangkitan rakyat kini memasuki fasa baru selepas kejayaan perhimpunan aman anjuran BERSIH baru-baru ini yang menghimpunkan puluhan ribu rakyat untuk menuntut pilihanraya yang lebih adil dan telus.
Semalam sekali lagi Kuala Lumpur 'meriah' dengan teriakan puluhan ribu masyarakat India menuntut keadilan dan hak yang selama ini seakan-akan didiskriminasikan oleh kerajaan. Perhimpunan yang dirancang dijalankan secara aman ini seperti yang dijangka telah berakhir dengan penuh rusuh dan liar gara-gara tindakan keras pihak polis dalam menangani para demonstran. Media-media arus perdana seperti lazimnya melaporkan peristiwa ini dari sudut yang jelas dipengaruhi oleh kuasa politik atasan.
Akhbar perdana berbahasa Melayu seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan Sinar Harian cuba menggambarkan seolah-olah para demonstran perhimpunan semalam sebagai perusuh dan ekstremis India yang ganas dan radikal. Foto serta imej yang ditonjolkan di dalam akhbar-akhbar tersebut seakan-akan cuba membakar sentiman perkauman di kalangan masyrakat Melayu dengan gambaran bahawa para demonstran India yang berhimpun di Kuala Lumpur semalam mahu mencabar status quo dan kontrak sosial yang telah dipersetujui selama ini.
Jika dilihat dari perspektif yang berbeza, perkara asas yang menjadi tuntutan aktivis Hindraf sebenarnya adalah untuk menyedarkan kerajaan Barisan Nasional agar memberikan perhatian yang lebih serius terhadap permasalahan yang melanda kaum India sejak sekian lama. Masalah kemiskinan, jenayah, penyalahgunaan dadah, buta huruf dan ketiadaan kemudahan asas di kawasan kediaman mereka sewajarnya dipertimbangkan secara rasional tanpa prejudis. Pun begitu apa yang berlaku adalah sebaliknya. Pemimpin-pemimpin kerajaan melalui media yang dikuasai mereka membidas dan mengkritik kumpulan terbabit sambil melabelkan tindakan mereka sebagai di luar budaya dan melampau.
Jika semalam puluhan ribu kaum India berhimpun meminta pembelaan dan perhatian dari pemerintah kerajaan Britain, baginda Ratu Elizabeth II, maka tidak mustahil jika selepas ini kaum Cina pula berkumpul meminta belas dari pemerintah negara China atau Singapura bagi membela nasib mereka seterusnya kaum Melayu pula berhimpun meminta perhatian serta mengadu kepada pemerintah Indonesia atau Brunei bagi tujuan yang sama. Dan jika dilihat dari cara akhbar-akhbar negara ini melaporkan peristiwa semalam dengan percubaan untuk membangkitkan sentimen perkauman, maka tidak mustahil tragedi sedahsyat 13 Mei 1969 (atau barangkali lebih dahsyat dari itu) boleh berulang semula di bumi Malaysia yang bertuah ini.
Kerajaan seharusnya tidak bermain tarik tali dalam isu ini dengan mendakwa bahawa selama ini mereka telah berjaya memperjuangkan kebajikan semua kaum di Malaysia, walhal hakikatnya masih banyak lagi kecacatan dan kelemahan yang perlu diperbaiki dari sudut pendidikan, ekonomi dan kemudahan asas yang selama ini menjadi agenda mereka setiap kali menjelang pilihanraya.
Jangan sampai rakyat meluat dan akhirnya memilih jalan raya sebagai langkah terakhir untuk mengubah nasib mereka. Menurut laporan dari hasil kajian Merdeka Centre kelmarin yang menyebut bahawa rata-rata rakyat masih teguh menyokong kerajaan, jelas kajian yang hanya dijalankan melalui kaedah survey terhadap 1,024 responden di kalangan pengundi seluruh Semenanjung ini bukanlah ukuran sebenar sokongan seluruh rakyat.
Jika dalam tempoh hanya dua minggu, dua perhimpunan besar yang menghimpunkan puluhan ribu rakyat telah berjaya diadakan di Kuala Lumpur, maka tidak mustahil dalam pilihanraya umum akan datang rakyat sepakat untuk menunjukkan rasa mual serta jelak mereka terhadap keangkuhan dan kebejatan kerajaan Barisan Nasional yang kelihatannya mulai gagal mendengar permasalahan rakyat sendiri.