Saya tidak dapat membayangkan diri saya bekerja di Kuala Lumpur suatu hari nanti. Semalam, saya membelanjakan hampir RM 15 hanya untuk menampung caj tempat parkir kereta. Gila! Derita marhaen saya turut ditambah dengan kecelaruan sistem agensi kerajaan yang bernama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Selesai makan tengah hari di Jalan Yap Kwan Seng, saya terus bergegas ke Wisma Chase Perdana di Jalan Semantan untuk menyelesaikan urusan dengan PTPTN berhubung pembayaran balik pinjaman pendidikan. Malangnya, pegawai bertugas (dengan selamba, tanpa memikirkan yang saya bakal dicaj RM 3 untuk parkir kereta) menyatakan bahawa semua urusan pembayaran balik pinjaman harus diselesaikan di pejabat PTPTN di Stesen Sentral Kuala Lumpur. Bayangkan, RM 3 melayang untuk caj parkir dalam tempoh tidak sampai 10 minit!
Saya kemudiannya bergegas ke Stesen Sentral dan mengambil masa hampir 10 minit untuk memarkir kereta. Saya menunggu hampir sejam sebelum nombor giliran dipanggil. Bayangkan, bilangan pelanggan yang hadir menjangkau 30 orang dan terdapat 11 kaunter perkhidmatan tetapi hanya 6 kaunter sahaja yang beroperasi! Selesai berurusan, saya terus bergegas untuk membayar caj parkir. Lebih dari satu jam, dan cajnya ialah RM 6.20! Dan sebelum itu saya dicaj RM 5 untuk parkir kereta di Jalan Yap Kwan Seng. Itu belum ditambah dengan kos minyak yang bakal meningkat bila-bila masa dalam tahun ini.
Zaman anak-anak dahulu saya ghairah menyimpan angan-angan untuk bekerja di ibu kota Kuala Lumpur, pun begitu semalam saya mulai mempertimbangkan semula impian tersebut. Masakan tidak, perbelanjaan makan saya untuk dua hari habis hanya untuk membayar caj parkir kereta!
tapi kadangkala menyakitkan hati juga, dan ada sesetengah tempat tumpuan orang ramai berada di luar liputan pengangkutan massa..
tapi itu saja alternatif terbaik daripada menempuh kesesakan yang tak berkesudahan, harga minyak yang melambung, dan juga kos kawasan letak kereta yang melampau..