Buku Islam & Pluralisme yang saya selesai khatam tahun lalu kini diisytihar haram oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN). Pengharaman buku ini turut disertai 10 buah buku lain, lapan daripadanya ditulis dalam bahasa Inggeris. Rasional pihak KKDN berhubung pengharaman ini ialah dengan alasan 'fakta yang terkandung dalam buku berkenaan menyeleweng daripada ajaran Islam'.
Buku susunan Al-Mustaqeem Mahmood Radhi dan Khairul Anam Che Mentri ini (terbitan Middle-Eastern Graduates Centre) menampilkan koleksi artikel beberapa intelektual agama seperti Nurcholish Madjid, Hans Kung dan Asghar Ali Engineer, antara lain mengupas kekeliruan yang mewarnai minda umat Islam berhubung isu pluralisme agama. Apa yang boleh saya katakan, tidak ada suatu pun sepanjang pembacaan saya, fakta yang menyeleweng dari 'ajaran Islam' sebagaimana yang didakwa oleh pihak KKDN.
Hujah pihak KKDN bahawa kandungan buku ini 'boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam' nyata lahir dari lubuk kebodohan yang meletakkan martabat akal di celah pelipat lutut! Jika benar inti buku terbabit bersifat mengelirukan maka kenapa tidak dilawan dengan hujah atas semangat intelektual yang sebenar? Kenapa harus menggunakan otoriti sebagai penguasa untuk 'membunuh' kebebasan berfikir pihak lain?
Tahun lalu, sekitar bulan Mei, KKDN dilaporkan telah merampas beberapa buah buku mengenai tragedi 13 Mei tulisan Dr. Kua Kia Soong pun begitu tindakan untuk mengharamkannya tidak terlaksana berikutan bantahan meluas beberapa pihak.
Saya secara peribadi mengecam tindakan terkini pihak KKDN berhubung dengan isu ini. Jelas, sekatan terhadap kebebasan berfikir semakin dicabuli oleh tangan-tangan penguasa yang seakan resah dengan ragam pemikiran yang pelbagai. Barangkali mereka lupa atau sememangnya tidak tahu bahawa wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W. lebih 1400 tahun yang lalu dimulai dengan arahan membaca--- Iqra'!
Bagi saya, hujah KKDN bahawa buku-buku yang diharamkan ini 'boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam' sememangnya tidak berasas dan bersifat dangkal. Kelihatannya seolah-olah pihak pemerintah menganggap bahawa rakyat Malaysia khususnya umat Islam bersifat bodoh dan bebal serta tidak mampu menggunakan kefahaman sendiri dalam mendepani sesuatu polemik.
Sewajarnya KKDN menyatakan bahawa pengharaman ini adalah disebabkan buku-buku tersebut 'boleh membangkitkan kesedaran dan keyakinan di kalangan umat Islam dalam menilai sesuatu kebenaran'. Atau mungkin pemerintah bimbang rakyat semakin ghairah membaca dan seterusnya mendalami Al-Qur'an dengan tekun dan komited. Dan barangkali selepas itu akan ada arahan supaya diharamkan saja penerbitan Al-Qur'an memandangkan inti kitab suci itu menyeru pembacanya agar bangkit menentang kezaliman dan menyuruh agar ditegakkan keadilan.
Haramkan saja Al-Qur'an jika kalian khuatir rakyat menjadi bijak dengan membacanya. Atau barangkali kalian boleh meminda ayat pertama Surah Al-'Alaq dengan menghapuskan arahan Allah yang menyeru hambaNya: 'Iqra!
Nah! Al-Qur'an versi Islam Hadhari. Mungkin ianya lebih sesuai digunakan dalam konteks Malaysia, di mana proses pembodohan rakyat menjadi salah satu agenda utama sang pemerintah; dulu, kini dan selamanya!
5A-4, Block F1, Jalan PJU 1/42A, Dataran Prima, 47301 Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.
tel +603 7803 2545 fax +603 7803 2543 email megcentre@gmail.com
Siaran Akhbar
5 Februari 2008
Middle-Eastern Graduates Centre (MEGC) berasa sangat terkejut dan sungguh kesal dengan tindakan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) mengharamkan buku “Islam dan Pluralisme” terbitan MEGC, bersama 10 buku lain, seperti dilaporkan di media pada 29 Januari dan 30 Januari 2008.
Selain kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak KKDN berhubung pengharaman tersebut sangat kabur dan sewenang-wenangnya, kami juga melihat pengharaman ini sebagai suatu langkah yang bercanggahan dengan semangat keilmuan dan kemajuan seperti diharap-harapkan oleh idea-idea asas Islam Hadhari yang diterajui oleh YAB Dato’ Seri Perdana Menteri.
KKDN tidak memaklumkan perkara ini kepada pihak kami dan tidak juga menyertakan sebarang justifikasi atau bukti kukuh bagi menyokong tindakan mereka.
Buku “Islam dan Pluralisme” diterbitkan, bertujuan antaranya, sebagai satu perbahasan untuk mengulas fatwa Majelis Ulama Indonesia (MUI) yang mengharamkan pluralisme, liberalisme, dan sekularisme. Selepas fatwa ini, beberapa pihak di Malaysian telah menyusun beberapa rencana—menerusi perbincangan dan penulisan—bagi menyokong fatwa tersebut.
Pada waktu itu, tiada suatu usaha pernah diambil untuk memberikan penjelasan atau penerangan yang berimbang berhubung fahaman-fahaman tersebut di negara ini. MEGC menerbitkan “Islam dan Pluralisme” sebagai satu tawaran bagi melanjutkan perbahasan ilmiah tentang perkara tersebut.
Menyedari bahawa pluralisme bukanlah sesuatu yang terlalu asing dalam tradisi keilmuan Islam, kami mengutip dan menterjemahkan beberapa tulisan yang cuba menjelas realiti kejamakan (plurality) dan pluralisme keagamaan dalam teks-teks agama (Al-Quran dan hadis), sejarah, tradisi, dan idea-idea yang terkandung di dalam karya para sarjana agung Muslim, khususnya daripada aliran sufisme.
Kami juga berasa keliru dengan kenyataan pegawai KKDN Che Din Yusoh yang dipetik sebagai berkata, bahawa “Sekiranya penerbitan itu dibiarkan, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam dan seterusnya boleh memudaratkan ketenteraman awam.”
Pada hakikatnya, penerbitan buku “Islam dan Pluralisme” itu dibuat sebagai salah satu usaha dan sumbangan kami ke arah mengembangkan masyarakat beragama yang lebih berlapang dada serta hidup dengan lebih harmoni di tengah kepelbagaian bangsa, agama, dan budaya seperti di Malaysia.
Justeru itu, kami berasa hairan dengan tindakan pengharaman buku ini kerana langkah ini tidak membantu usaha-usaha membentuk sebuah keluarga besar bangsa Malaysia yang saling memahami, berfikiran terbuka dan dipertalikan oleh semangat kemanusiaan.
MEGC akan menghantar surat kepada pihak KKDN secepat mungkin untuk meminta penjelasan, alasan terperinci, dan justifikasi bagi pengharaman tersebut. MEGC juga mengharapkan KKDN menimbangkan semula pengharaman ini dan menarik balik larangan ini.
Al-Mustaqeem Mahmod Radhi
Pengarah Eksekutif
Maklumat asas buku “Islam dan Pluralisme”
Tajuk: Islam & Pluralisme
Penyunting: Al-Mustaqeem Mahmod Radhi & Khairul Anam Che Menteri
Tahun diterbitkan: 2006
Penerbit: Middle-Eastern Graduates Centre Sdn Bhd (MEGC)
Tebal: 120 muka surat
Jenis buku: Terjemahan/susunan artikel-artikel daripada enam ahli akademik dan pemikir
Isi kandungan buku:
Pendahuluan – “Bercakap tentang Pluraliti: Aku Manusia vs Aku Muslim”
Oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi
Bab 1 – Pluralitas Makna Pluralisme (Agama)
Oleh Suratno, pensyarah Jabatan Falsafah & Agama, Universitas Paramadina, Jakarta, Indonesia
Bab 2 – Iman dan Kemajmukan Masyarakat Intra-Umat Islam
Oleh Nurcholish Madjid (allahyarham), pemikir Islam yang terkenal di Indonesia
Bab 3 – Islam dan Pluralisme
Oleh Asghar Ali Engineer, penulis terkenal berasal dari India
Bab 4 – Macam-macam Jalan ke Syurga
Oleh Reza Shah-Kazemi, sarjana dalam bidang Perbandingan Agama dan bekas konsultan di Institut Kajian Dasar (IKD), Kuala Lumpur
Bab 5 – Kristian di Masjid Nabawi: Renungan ke dalam Sunnah
Oleh Reza Shah-Kazemi
Bab 6 – Pluralisme Keagamaan dan Islam
Oleh John Hick, profesor emeritus dalam bidang falsafah agama
Bab 7 – Etika Global
Oleh Hans Kung, presiden Global Ethics Foundation dan juga penggerak utama bidang dialog antara tamadun (inter-civilizational dialogue) di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)
Tentang penerbit: Middle-Eastern Graduates Centre (MEGC) adalah sebuah pusat kajian dan penerbitan bagi mempromosi isu-isu kebebasan dan masyarakat sivil, berlandaskan tradisi keagamaan dan pemikiran moden. Prinsip-prinsip utama yang menjadi perhatian MEGC ialah kebebasan individu, keterbukaan, persaingan dan kemandirian. MEGC didukung oleh peminat dan pengkaji sejarah, budaya, pemikiran dan isu-isu rantau Timur Tengah.
Tentang pengasas: Al-Mustaqeem Mahmod Radhi, lulusan bidang syariah di Universiti Mu’tah, Jordan, seorang penterjemah buku, editor majalah dan wartawan/penulis isu-isu Islam, falsafah dan seni budaya.