Dua orang pembantu khas Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini telah berjaya dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Selangor dan Pulau Pinang. Nik Nazmi Nik Ahmad dan Sim Tze Szin masing-masing telah diamanahkan untuk mewakili rakyat di DUN Seri Setia dan DUN Pantai Jerejak.
Kini khabarnya, kerusi panas Pembantu Khas Anwar Ibrahim mulai menjadi rebutan beberapa individu yang dikatakan cukup berminat untuk mengisinya. Mewarisi 'diari merah' sememangnya sesuatu yang paling dihajati oleh ramai anak muda yang punyai rencana untuk mengembangkan jaringan politik mereka. Menyelia jadual Anwar Ibrahim sememangnya bukan tugas yang mudah, pun begitu ianya suatu keistimewaan yang sukar dikecapi. Azmin Ali merupakan antara tokoh politik yang dahulunya bermula sebagai pemegang 'diari merah' Anwar.
Dan kini, selepas Nik Nazmi, saya difahamkan 'diari merah' menanti pewaris barunya. Saya kira ramai yang mulai mengetuk dan menempelkan diri di pejabat Anwar semenjak kebelakangan ini dalam usaha untuk mewarisi meja kerja Nik Nazmi. Ada juga yang tiba-tiba ligat menjadi peminat setia majlis-majlis ceramah Anwar walhal sebelum ini begitu taksub dengan UMNO dan Barisan Nasional. Malah ada yang cukup berani sehingga mendakwa yang dirinya kini merupakan kakitangan dan pembantu khas Anwar menggantikan Nik Nazmi.
Saya kira lingkungan kakitangan dan sekutu-sekutu yang akrab dengan Anwar harus berwaspada dalam hal ini. Dalam situasi sebegini, jelas akan ada ramai yang menunjukkan minat untuk mendampingi Anwar dan orang-orang di sekelilingnya. Beberapa orang teman turut melahirkan kebimbangan kerana kononnya terdapat individu yang cukup dicurigai latar belakangnya kini kelihatan begitu ghairah mahu dilihat sebagai sebahagian dari lingkungan tersebut. Khabarnya ada antara mereka dahulunya merupakan individu yang terlibat secara langsung dengan Najib Tun Razak.
Barangkali sikap waspada cukup penting dalam keadaan sebegini. Jangan sampai ada musang berbulu ayam yang kemudiannya memangsakan seluruh reban sebagai santapannya.