Ayat-ayat Cinta

Dalam kesibukan menyiapkan tesis projek tahun akhir, saya sempat mencuri ruang melayani filem terbaru Indonesia arahan Hanung Bramantyo yang diadaptasi dari novel popular karya Habiburrachman El Shirazy, Ayat-ayat Cinta.

Novel bestseller yang terjual sebanyak 350 ribu nashkah pada tahun 2005 ini telah saya hadam lewat tahun 2006 di dalam bas sepanjang perjalanan ke utara Semenanjung Malaysia. Secara peribadi, saya cuba untuk membandingkannya dengan novel Tunggu Teduh Dulu, karya Faisal Tehrani.

Apa pun, kekuatan Ayat-ayat Cinta bukan sekadar terletak pada mesej dakwah yakni pendekatan romantik secara Islami, konsep jodoh dan penolakannya terhadap budaya percintaan sebelum pernikahan, ianya lebih kepada pendekatan untuk memesrai masyarakat dengan konsep keterbukaan dalam Islam, pengiktirafan Islam terhadap wanita serta dasar-dasar dan prinsip feqah yang sentiasa selari dan sesuai dalam sebarang situasi.

Menghayati perjalanan cinta Fahri Abdullah Sidek (lakonan Fedi Nuril) melalui pembacaan novel nyata lebih mengasyikkan. Imaginasi dan khayalan saya dalam menghidupkan penceritaan novel ini saya akui tidak banyak lari dari apa yang dizahirkan melalui filem. Watak Maria Girgis (lakonan Carissa Putri) nyata berkesan dan cukup roh sebagaimana yang terlukis dalam novel. Watak Aisha (lakonan Rianti Cartwritght) sedikit tersasar dari imaginasi saya kerana sifat Jerman-Turki yang seharusnya menjadi karakter pada susuk rupanya kelihatan sangat bersifat Indonesia.

Apa yang sedikit mengecewakan ialah 'kekurangan' kisah Fahri dalam menjalani hidup sebagai anak muda bujang yang menyewa rumah pangsa bersama-sama teman-teman Indonesianya. Ini agak berbeza dengan penceritaan melalui novel yang lebih jelas dan deskriptif.

Apa pun, saya menganggap filem ini berjaya dari segi persembahan dan kekuatan lakonannya. Elemen muzik yang melodramatik cukup mengasyikkan saya sehingga beberapa kali terpaksa menyeka air mata!

8 Ulasan

Rima Ramadhany berkata…
sumpah lo nangis??!!!

gue baru dapet filmnya kemaren dari Mamad.. ntar gue coba tonton dehh... liat siapa yg lebih banjir nonton film ini!

mwahahahahahahhaa....
Amin Ahmad berkata…
adik aku di kampung dengan nada bodek telah meminta aku belikan buku ini untuknya - dan atas semangat untuk menggalakkan dia membaca, kerana dia satu2nya adik aku yang rajin membaca, maka aku belikan...
Amin Ahmad berkata…
tapi nanti aku kena berpesan kepada dia, bila sembang dengan orang yang banyak membaca buku jangan sesekali bagitau orang lain 'dia itu sangat membosankan'..hahahaha..
Tanpa Nama berkata…
amin & najwan, novel ni best tapi macam baca kitab fiqh yang di novelkan.

nizam
kk
pie berkata…
novel lebih seronok berbanding filem...
itu yg rakan saya katakan juga...
Tanpa Nama berkata…
aduh, harap2 ini filem indonesia yang berkualiti.

susah dah nak cari filem bagus hari ni.
Tanpa Nama berkata…
zul,

selepas menonton filem ini, mungkin kita akan sedar bahawa kualiti sebenar filem bukan terletak pada props, teknik pencahayaan (lighting) dan sebagainya. tetapi ia terletak pada penjiwaan semula watak-watak di dalam novel.

apapun, untuk filem ini, WAJIB lakukan dua benda:
1. Baca Novelnya
2. Tonton Filemnya

... dan tentang kualiti, terserah pada pendefinisian masing-masing :)
Tanpa Nama berkata…
best sbb pelakon lawa2... kan?kan??
Terbaru Lebih lama