Melayu, seperti juga Yahudi merupakan umat yang suka bernostalgia. Kehebatan kesultanan Melayu Melaka serta kegemilangan empayar Melayu silam menjadi suapan wajib buat anak-anak muda yang mengaji kitab teks sejarah seawal tingkatan satu. Ungkapan "Takkan Melayu Hilang Di Dunia" dicerna selumat yang mungkin oleh anak-anak Melayu sejak mereka kenal erti bangsa, ketuanan dan maruah.
Yahudi, dalam konteks yang sama sehingga kini masih lagi mengenang kegemilangan silam Kerajaan Daud. Pembebasan dari cengkaman pemerintah Mesir merupakan titik tolak sejarah pendudukan Yahudi di bumi Kanaan (kini Palestin/Israel) yang mencetuskan konflik ketuanan dengan bangsa Arab sehingga ke hari ini. Saya kurang pasti jika dalam sejarah peradaban Yahudi, wujud 'Hang Tuah' yang mengungkapkan madah perangsang "Takkan Yahudi Hilang Di Dunia", sebagai suatu motivasi buat bangsa ini mempertahankan konsep 'ketuanan Yahudi' dalam mendepani krisis dengan Palestin.
Selepas kejatuhan Israel, sewaktu era penaklukan Rom, bangsa Yahudi hidup merempat. Kuasa politik, ketuanan dan hak istimewa mereka lenyap dan dilupakan. Selama hampir 2,000 tahun "bangsa pilihan" ini tertindas dan dipinggirkan. Melayu, bangsa yang mula bertamadun kurang dari 700 tahun dahulu kini mulai runsing mendepani hari-hari mendatangnya. Jika Yahudi mengangkat ideologi Zionisme sebagai wadah untuk mempertahankan ketuanannya, Melayu pula begitu taksub dengan Umno, semangat Melayu yang bakal memasuki usia ke-62 tahunnya Mei ini.
Jika saya seorang Yahudi, menghayati Hatikvah barangkali sudah cukup untuk meredakan kerisauan saya tentang masalah ketuanan bangsa. Melodi 'harapan' yang diilhamkan oleh Samuel Cohen pada tahun 1888 ini disadurkan dengan sepotong puisi karya Naftali Herz Imber yang ditulisnya pada tahun 1878. Melayu juga perlu hatikvah baru, barangkali. Bukan dalam bentuk puisi, bukan juga dalam bentuk melodi. Dan bukan juga melalui pemulihan Umno.
Hatikvah baru ini hadir dalam bentuk sosok seorang pemimpin. Dan beliau bukan sekadar pemimpin dan penyatu Melayu, bahkan turut jadi penyatu seluruh warga tanah air ini. Siapakah bakal messiah itu? Seorang pesara yang lantang bersuara? Atau seorang tokoh yang pernah kecundang? Atau mungkin seorang bekas banduan yang dizalimi tanpa belas?
1)http://forum.mykmu.net/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&p=405960
2) http://forum.mykmu.net/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=12567&postdays=0&postorder=asc&highlight=mei+telawi&start=0
3) http://forum.mykmu.net/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=12644&postdays=0&postorder=asc&highlight=thinker+jalan+telawi&start=0
this is one of your best writings yet. ahmad fadhil is right - you have talent and you should consider publishing professionally.
pg.