Nostalgia P. Ramlee

Semalam, saya sempat meluangkan masa ke Panggung Sari, Istana Budaya menyaksikan pementasan kali kedua Muzikal P. Ramlee. Pementasan pertama yang menampilkan Sean Ghazi pada tahun lalu kurang menarik minat saya memandangkan watak P. Ramlee yang berstatus 'celup'. Kali ini, P. Ramlee 'dihidupkan' hampir sempurna oleh Musly Ramlee, pelakon berbakat yang selama ini kurang diberi perhatian oleh produser-produser seni tanah air.

Pementasan ini dimulakan dengan imbasan kehidupan awal P. Ramlee di Pulau Pinang sebagai bintang seni yang baru menyinar, percintaan singkat dengan Azizah (Emelda Rosmilla) serta penghijrahan P. Ramlee ke Singapura untuk mencipta nama dan mengembangkan bakatnya.

Bermula sebagai clapper boy dan penyanyi latar untuk filem-filem keluaran Produksi Filem Melayu (MFP), P. Ramlee mulai cemerlang apabila diberi ruang berlakon dalam beberapa filem arahan B.S. Rajhans (Joseph Gonzalez).

Nyata, bakat yang dimiliki tidak disia-siakan dan semakin mendapat perhatian apabila Shaw Brothers menawarkan beliau peluang mengarah filem-filem terbitan syarikat tersebut. Kejayaan yang dikecap P. Ramlee cukup hebat dengan 10 buah filem arahan, lakonan dan gubahan lagu-lagu oleh beliau sendiri mencapai tahap box-office dalam tempoh hanya lima tahun!

Secara peribadi, saya cukup berpuashati dengan lakonan, jalan cerita dan kelengkapan pentas teater ini pun begitu beberapa gangguan teknikal sepanjang pementasan cukup mengecewakan. Kegagalan mikrofon Musly Ramlee sewaktu menyanyikan lagu Azizah dan masalah pentas sehingga memaksa pementasan dihentikan selama hampir lima minit menimbulkan persoalan akan status Panggung Sari sebagai panggung teater bertaraf antarabangsa. Lebih memalukan apabila insiden ini turut disaksikan oleh tetamu diraja iaitu Raja dan Permaisuri Negeri Perlis, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan DYMM Tuanku Fauziah.

Apa pun, persembahan semalam cukup menyentuh jiwa. Saya mulai meminati karya-karya Allahyarham P. Ramlee semenjak usia enam tahun bermula dari filem Seniman Bujang Lapok dan memahami sejarah hidup beliau ketika berusia 10 tahun. Sehingga hari ini, saya sudah tidak mampu membilang lagi berapa kali saya menonton Pendekar Bujang Lapok, Sarjan Hassan, Do Re Mi, Ibu Mertuaku dan Labu Labi!
Al-Fatihah buat Allahyarham P. Ramlee. Moga Allah merahmati roh Seniman Agung yang tiada galang ganti ini.

Post a Comment

أحدث أقدم