Kelmarin, saya menerima jemputan menghadiri majlis pra-tonton filem Sepi, karya terbaru Khabir Bhatia terbitan Grand Brilliance Sdn. Bhd. di Golden Screen Cinemas, One Utama. Berkonsepkan cinta, filem lakonan beberapa bintang tersohor tanah air ini nyata tidak mengecewakan.
Filem ini mengisahkan kehidupan sepi Adam, Sufi dan Imaan: ketiga-tiga mereka mencari cinta dan kebahagiaan.
Adam (Afdlin Shauki), seorang chef berjaya yang memiliki kepakaran menghasilkan kek pengantin. Beliau kerap menghadiri majlis-majlis perkahwinan, kebiasaannya berseorangan--tanpa pasangan. Meski pun dikelilingi oleh teman-teman setia, Adam merasa sepi. Hatinya sentiasa mencari-cari seseorang untuk berkongsi cinta dan kebahagiaan. Sepanjang pencarian itu, Adam seakan-akan tidak menyedari bahawa cinta yang dicari sebenarnya sudah wujud di hadapan matanya.
Berbeza dengan Sufi (Tony Eusoff), seorang usahawan muda yang dilanda kesepian setelah kematian isterinya dalam satu nahas jalan raya. Sufi dibebani dengan kenangan indah bersama arwah isteri dan sukar menjalani hidup lantaran kekosongan dalam hatinya. Beliau mulai berlari. Berlari dengan tujuan untuk menjauhkan diri dari realiti kehidupan, kerjaya malah anaknya sendiri.
Kesepian turut menerpa Imaan (Baizura Kahar), pengkagum Kahlil Gibran. Imaan kecewa bila mana pementasan teater hasil karyanya tidak diambil serius oleh pelakon utamanya, Ean (Syed Hussein). Imaan mulai membenci Ean tanpa menyedari yang Ean telah berjaya mencuri hatinya. Pun begitu, Imaan tegar setia pada kekasih sejatinya Kahlil (Pierre Andre). Kesudahannya, Imaan terpaksa memilih antara dua.
Air mata saya sedikit menitis menonton filem ini. Jika anda pernah menonton filem Cinta, saya kira anda harus menonton Sepi. Cinta tak datang hanya sekali; demikian simpulan sakti filem ini.
do u know the poem?
bautiful words.i couldnt help but shed a tear.or two :)