10 Tahun Selepas Reformasi (2)

Sepuluh tahun lalu, tatkala Anwar Ibrahim disingkir dari posisi ulung Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, saya masih kecil anak. Menilai kemarahan dan kekalutan di sekeliling, saya menyimpulkan bahawa Anwar Ibrahim telah dianiaya.

Ledakan reformasi yang bergema sejurus penyingkiran Anwar telah disahut oleh rakyat Malaysia yang merasakan bahawa hak mereka telah dicabuli dan ditindas. Kejayaan gerakan sama di Indonesia dalam menumbangkan rejim Soeharto dilihat sebagai model dalam rangka usaha menjatuhkan kepimpinan Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu.

Demonstrasi jalanan diadakan setiap hujung minggu sebagai bantahan terhadap pemecatan Anwar. Setiap hari Sabtu dan Ahad umpama pesta sorak yang meriah dengan pekikan dan laungan menuntut perubahan. Waktu itu, minat terhadap makalah-makalah politik semakin merangsang. Saya mulai menjadi pembaca setia tulisan-tulisan Ahmad Lutfi Othman, Fathi Aris Omar, Mohd Sayuti Omar dan Subky Latif (sekadar menyebut beberapa nama). Cerpen Kingdom of Flowers karya Faisal Tehrani sentiasa dinantikan dalam setiap keluaran Wasilah (cerpen ini tergantung akibat pengharaman Wasilah oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1999).

Gelombang reformasi seakan surut sebaik Anwar Ibrahim dihumban ke penjara. Anwar bertegas, ianya bermotifkan politik -- satu konspirasi jahat untuk membunuh karier politiknya. Obor reformasi seterusnya disambut oleh Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali, Ezam Mohd Noor, Tian Chua dan para pendukung yang setia. Pada bulan April tahun 1999, Parti Keadilan Nasional (KeADILan) terbentuk. Menjelang Pilihanraya Umum ke-10, KeADILan mengumumkan kerjasama dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dengan membentuk Barisan Alternatif (BA).

Pilihanraya Umum tahun 1999 menyaksikan DAP kalah teruk, gara-gara kerjasama mereka dengan PAS. Perkara sebaliknya berlaku terhadap PAS yang berjaya membentuk kerajaan negeri di Terengganu dan mengetuai barisan pembangkang di Parlimen. KeADILan sekadar menguasai kerusi Parlimen Permatang Pauh, kubu kuat Anwar.

Kejayaan BA dalam pilihanraya tersebut merupakan satu tamparan hebat buat Dr. Mahathir. Jelas, faktor Anwar cukup mempengaruhi para pengundi dalam menzahirkan bantahan mereka terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) waktu itu. Dr. Mahathir gagal meyakinkan orang Melayu untuk terus menyokong kepimpinannya. Pada penghujung Oktober 2003, Dr. Mahathir melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan menyerahkan kepimpinan negara kepada Abdullah Badawi, Perdana Menteri Malaysia hari ini.

Abdullah mengetuai jentera BN dalam menghadapi Pilihanraya Umum ke-11 pada tahun 2004 dan beroleh kemenangan besar dengan mandat yang cukup kukuh. Rakyat seakan-akan terpesona dengan janji-janji Abdullah untuk menjadikan pentadbiran kerajaan lebih telus dan berintegriti serta bebas dari rasuah. Agenda Islam Hadhari turut dicanang sebagai alternatif kepada agenda Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Terengganu kembali ditadbir oleh BN dan parti-parti pembangkang tewas teruk. DAP sedikit bertuah kerana berjaya mengembalikan Lim Kit Siang dan Karpal Singh ke Parlimen. Dr. Wan Azizah masih diberi kepercayaan untuk menjaga Permatang Pauh.

2 September 2004 membuka lembaran baru buat gerakan reformasi nasional. Empat tahun lalu, Anwar dibebaskan dari penjara. Mahkamah menepikan sabitan pertuduhan liwat yang dijatuhkan ke atas beliau dan Anwar terus bergegas ke Jerman bagi menjalani rawatan bagi mengubati masalah sakit tulang belakang yang dialami olehnya sewaktu dalam penjara. Dikatakan bahawa beliau menderita kesakitan tersebut selepas dibelasah oleh bekas Ketua Polis Negara, Abdul Rahim Noor dalam lokap di Bukit Aman pada malam beliau ditahan pada tahun 1998.

Sebaik selesai menjalani rawatan, Anwar memulakan langkah awal kebangkitannya dengan mengukuhkan perhubungan antarabangsanya dengan pimpinan politik, tokoh akademik, pakar ekonomi dan ulama-ulama terkemuka dunia. Beliau diundang sebagai profesor pelawat dan mengajar di beberapa buah universiti terkemuka dunia berkenaan dengan demokrasi dan hubungan Islam-Barat. Anwar turut dilantik sebagai penasihat dan perunding hal ehwal ekonomi beberapa buah negara dan organisasi serta diberi penghormatan mengetuai sebuah institusi kebertanggungjawaban antarabangsa iaitu AccountAbility.

Pada masa sama, Anwar menjalin hubungan persahabatan yang cukup erat dengan pimpinan negara Turki, sebuah negara Islam yang dilihatnya sebagai mewakili imej Islam moderat. Anwar turut mengukuhkan kerjasama dengan pimpinan politik, intelektual dan golongan budayawan Indonesia melalui perkongsian citra budaya, wacana sastera, kesejagatan bahasa dan kebersamaan serumpun.

Dua tahun sebelum Pilihanraya Umum ke-12 berlangsung, Anwar mulai giat meneroka segenap ceruk negara berpidato tentang peri pentingnya rakyat Malaysia bersatu tanpa mengira bangsa, agama dan budaya. Melalui pidatonya, beliau turut meminta agar rakyat bangkit dan berani mengubah nasib mereka dengan memberikan kepercayaan kepadanya untuk memulihkan kembali hala tuju negara yang kelihatan semakin tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

Dalam usaha untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-12, Anwar memainkan peranan yang cukup signifikan sebagai penghubung dalam pembentukan kerjasama KeADILan-PAS-DAP sebagai suatu pakatan yang kukuh untuk berdepan dengan rejim BN. Hasil dari kerjasama ini menyaksikan BN mengalami kekalahan paling teruk sepanjang sejarahnya. Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang dan Kelantan berjaya dikekalkan di bawah dominasi PAS. Sejurus selepas kejayaan tersebut, Anwar mengumumkan pembentukan Pakatan Rakyat -- ikatan politik antara KeADILan, PAS dan DAP dalam mempersiapkan diri selaku 'sebuah kerajaan dalam penantian'.

Kini, Pakatan Rakyat hanya menanti masa untuk mengambil alih teraju pentadbiran di Putrajaya. Ura-ura bahawasanya akan terjadi perpindahan ahli-ahli Parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat semakin hampir menjadi kenyataan sehingga memaksa Perdana Menteri menyatakan ikrarnya untuk menghalang perkara ini daripada berlaku dalam pembentangan Belanjawan 2009 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Apa pun, rakyat Malaysia kini semakin berdebar menanti detik 16 September. Apakah pada tanggal tersebut gerakan reformasi tiba pada kemuncaknya atau sekadar utopia Anwar untuk menimbulkan keresahan di kalangan pihak kerajaan yang kelihatan semakin hilang arah? Semuanya bakal terjawab dalam tempoh 14 hari dari sekarang.

8 Ulasan

Tanpa Nama berkata…
let us check n balance about who is anwar in reality

http://anwaribrahimdotcom.blogspot.com/

reformasikan mindset anda

salam Ramadhan
Tanpa Nama berkata…
Bukan mudah untuk membentuk kerajaan baru dalam masa yang singkat ini. Harus diingat bahawa 16 September yang diuar-uarkan oleh Anwar hanyalah satu mimpi yang sukar untuk menjadi kenyataan. Ia hanyalah angan-angan ciptaan beliau untuk meyakinkan rakyat untuk memilh PKR, sedangkan ia tidak memberi apa-apa makna pun sebenarnya...
Pantherian berkata…
menarik nostalgia sebuah perjalanan tokoh yang bernama anwar ibrahim.

Tiada pemimpin di Malaysia yg mengalami perjalanan politik yang penuh ranjau mcm anwar ibrahim yang membuatkannya terus kental dlm perjuangan.

syg , anak didik seperti ezam mudah goyah dan tidak kental dlm perjuangan.

Keep it UP Pak Syeikh..
Yusmir Yusop berkata…
Aku kira Anwar patut menulis memoir perjalanan politik beliau yang penuh ranjau.Dikotomi suka/duka.Mungkin bisa jadi best seller!
Tanpa Nama berkata…
Memang jika kita ikuti 'perjalanan hidup' Anwar, mungkin kita akan berasa sedih dengan apa yang berlaku tapi bila melihat cara beliau bercakap yang banyak putar belit dengan janji-janji manis beliau, maka kesedihan itu hilang... Sekarang ni jadi meluat bila dengar Anwar menguar-uarkan akan membina sebuah kerajaan baru menjelang 16 Sept ini sedangkan itu hanya janji kosong untuk mendapatkan sokongan rakyat semata-mata. 30 MP BN yang nak keluar UMNO pun senyap begitu sahaja seolah-olah tiada tanda-tanda akan meninggalkan UMNO.. Yang pastinya 16 Sept hanya angan-angan Anwar sahaja...
Tanpa Nama berkata…
Hidup ini bagaikan roda, kadang2 dibawah kadang2 diatas, tetapi kalau kita sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada dan kita usaha untuk menuju kejayaan pasti roda itu akan memutar dengan lebih pantas untuk menuju kepada jalan yang benar, kalau terpancit ditengah jalan, kemungkinan kita lupa nak elak paku dijalanan sebab kita tidak beringat, jadi dalam hidup kita pasti menempu segala dugaan dan cabaran, kadang2 orang paling Allah sayangi, orang itu yang Allah yang akan uji selalu, nak tahu sekuat mana imannya....

Rakan2
Jangan Lupa layari blog saya di http://khairilazuar.wordpress.com
bagi komen setiap artikel yang saya tulis. …ada artikel baru
Idyani Nazahiah berkata…
salam, singgah dr blog zarirah.
hehe.she idolizes TDM that much, and i believe most people do, that is why, most of them don't want a change.ketuanan melayu yg agak bersifat racist, itulah umno.
tp untuk mereka yg mahukan perubahan, this is the time to prove that pakatan rakyat exists bukan kerana bantahan terhadap BN semata-mata.tapi rakyat mahukan perubahan, dan bile lg kalau bukan sekarang, dah akhir zaman..
slmt berpuasa :)
band0tue berkata…
Sekarang sedang berjalan pilihanraya Tuhan, calon yang bergantung pada undi dan sokongan manusia akan kecundang, yang pasti naik calon pilihan Tuhan.

Kajilah isyarat hadis tentang akhir zaman dan janji-janji Tuhan.

Carilah tokoh yang memperjuangkan Tuhan. Tuhan adalah kebenaran mutlak.

Anwar merupakan pelakon tambahan melengkapkan skrip besar kebangkitan Islam akhirzaman yang kemuncaknya akan di pimpin oleh Imamul Mahdi Al Muntazar.

jom lepak kat blog saya;

http://nawawidahalan.blogspot.com/
Terbaru Lebih lama