Mahathir

Saya percaya, hanya sejarah yang berhak menghargai dan menghukum Dr. Mahathir Mohamad.

Selama hampir 20 tahun, saya -- dan generasi seangkatan -- hanya mengenali Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia. Selama 22 tahun, Mahathir itu adalah Malaysia; dan Malaysia itu Mahathir. Selama 22 tahun, semuanya tentang Mahathir.

Saya sekali-kali tidak akan pernah menafikan sumbangan Dr. Mahathir selama 22 tahun beliau mentadbir Malaysia. Ya, selama 22 tahun diurus Mahathir, Malaysia mencapai kemajuan material yang bukan sedikit.

Mantan Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra pernah menyatakan bahawa beliau ingin menjadi 'Mahathir' di Thailand. Awas! Untuk menjadi 'Mahathir', Thailand bukanlah negara yang sesuai. Lihat apa kesudahan Thaksin hari ini. Saksikanlah bagaimana rakyat menghukum Thaksin.

Saya percaya, ramai di kalangan anak-anak muda sezaman cukup mengagumi Dr. Mahathir sewaktu di bangku sekolah dahulu. Saya masih ingat, sewaktu ditanya oleh guru tentang siapa tokoh yang disanjungi, maka tiada jawapan lain yang terlintas selain 'Mahathir'.

Tanggal 2 September 1998 mengubah segala persepsi tentang Mahathir. Negarawan dan wira Dunia Ketiga ini mulai dilabel sebagai diktator gila kuasa dan seorang kuku besi yang sanggup melakukan apa saja demi mempertahankan legasi dan kekuasaannya.

Lebih dari itu, umum mulai didedahkan dengan dakwaan penyelewengan dan salahguna kuasa yang melibatkan usaha beliau untuk melindungi kepentingan ekonomi ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Sejak dari itu, demonstrasi jalanan mulai jadi resam warga Kuala Lumpur. Setiap hujung minggu, tanpa gagal, Kuala Lumpur menyaksikan ribuan rakyat bersuara mendesak agar pemimpin yang selama ini diagung-agungkan oleh mereka agar berundur dan meletak jawatan.

Dan ketika itu, wajah sebenar Dr. Mahathir tersingkap. Polis diperkuda dan dikerah menjadi pelindung segelintir elit politik yang mabuk kuasa. Institusi kehakiman, mahkamah dan badan-badan perundangan dicabul sewenang-wenangnya.

Dunia memandang Malaysia penuh sinis. Kecaman demi kecaman diterima sehingga ke peringkat di mana Naib Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Al Gore memboikot majlis makan malam yang dipengerusikan oleh Dr. Mahathir bersempena Persidangan Ekonomi Asia Pasifik yang diadakan di Kuala Lumpur pada Oktober 1998 sebagai tanda protes atas pencabulan hak asasi manusia di Malaysia.

Populariti Dr. Mahathir merosot teruk, terutamanya di kalangan orang Melayu. Ini jelas dibuktikan menerusi keputusan Pilihanraya Umum (PRU) pada tahun 1999 yang menyaksikan kekalahan UMNO di Kelantan dan Terengganu. Bilangan kerusi yang dimenangi oleh Barisan Alternatif (gabungan PAS, DAP dan PRM) di peringkat DUN dan Parlimen bertambah.

Barangkali setelah menyedari bahawa dirinya sudah tidak relevan lagi dalam arus politik UMNO, Dr. Mahathir menguji pasaran dengan mengumumkan perletakan jawatan sebagai presiden UMNO, pengerusi Barisan Nasional dan Perdana Menteri ketika Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan pada November 2002.

Umpan Dr. Mahathir mengena dan majoriti perwakilan dengan diketuai oleh Abdullah Badawi menolak perletakan jawatan tersebut. Pelan peralihan kuasa dirangka antara Dr. Mahathir dengan Abdullah dan keputusan dicapai melalui penetapan 31 Oktober 2003 sebagai tarikh rasmi penyerahan kuasa membabitkan dua pemimpin terbabit.

Tempoh setahun sebelum tarikh peralihan telah digunakan sepenuhnya oleh Dr. Mahathir untuk memperbaiki imejnya yang tercalar. Media-media milik UMNO secara agresif berperanan membentuk persepsi positif terhadap Dr. Mahathir menjelang hari-hari akhir beliau sebagai Perdana Menteri.

Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah persidangan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan persidangan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dalam tahun 2003 sememangnya sesuatu yang amat dinantikan oleh Dr. Mahathir. Gelanggang kedua-dua persidangan ini telah digunakan sebaik mungkin oleh beliau untuk menaikkan reputasinya di peringkat antarabangsa dengan penonjolan dirinya sebagai wira negara-negara Dunia Ketiga dan hero umat Islam.

Kecaman beliau terhadap bangsa Yahudi di hadapan pemimpin-pemimpin negara OIC -- beberapa hari sebelum persaraannya -- cukup signifikan dalam usaha terakhirnya untuk dilihat sebagai tokoh Islam yang punyai keberanian dan kewibawaan. Ya, hasilnya cukup menguntungkan kerana rata-rata kebanyakan media antarabangsa menjadikan kecaman beliau itu sebagai bahan berita dan topik perbincangan utama pada keesokan harinya.

Dunia Arab memuji Dr. Mahathir manakala Barat mengecam beliau sebagai anti-semitik. Umat Islam di Malaysia -- yang cukup sensitif dan bersentimen dalam isu ini -- mulai menghitung nasib mereka seandainya Dr. Mahathir bersara kelak sehingga ada yang bertanya: "Siapa lagi yang mampu membela kita?".

Nostalgia 22 tahun mulai dicanang oleh media-media milik UMNO. Segala sumbangan dan kejayaan yang telah dicetuskan oleh Dr. Mahathir diulang-ulang saban hari dalam membangkitkan mood kesedihan dan rasa terhutang budi rakyat terhadap beliau.

Sebaik sahaja Abdullah mengambil alih tampuk pentadbiran negara, rakyat merasakan seolah-olah muncul sinar baru di Malaysia. Kejayaan Barisan Nasional meraih mandat besar dalam PRU 2004 membuktikan harapan tinggi rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Abdullah selaras dengan manifesto beliau yang sarat dengan pelbagai agenda perubahan.

Tindakan Abdullah yang tidak mahu dilihat berada di bawah bayangan Dr. Mahathir menimbulkan rasa tidak senang bekas Perdana Menteri itu. Imej bersih yang dimiliki Abdullah cuba digugat oleh Dr. Mahathir dengan mulai menyerang beberapa dasar dan keputusan yang diambil oleh kabinet antaranya keputusan membatalkan projek jambatan bengkok yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura.

Dr. Mahathir -- samada kita sedar atau pun tidak -- secara sistematik menyerang Abdullah dengan menjadikan Khairy Jamaluddin sebagai modal politik. Khairy dicanang sebagai individu oportunis yang berada di belakang Abdullah dalam merencana pentadbiran negara dan banyak mempengaruhi Abdullah berhubung beberapa keputusan penting kabinet.

Pembebasan Anwar Ibrahim pada September 2004 turut memberikan tamparan hebat kepada Dr. Mahathir. Rakyat menyambut baik keputusan mahkamah membebaskan Anwar dan menaruh harapan agar suasana politik negara akan kembali stabil setelah apa yang terjadi pada tahun 1998. Tindakan Abdullah yang menyatakan bahawa beliau tidak mencampuri keputusan mahkamah membebaskan Anwar dibaca oleh umum sebagai tanda bahawa Abdullah tidak mahu mewarisi 'kezaliman politik' yang dilakukan oleh Dr. Mahathir terhadap Anwar.

Tahun lalu negara dikejutkan dengan pendedahan Anwar berhubung rakaman video yang menunjukkan seorang peguam terkenal, VK Lingam sedang berbual melalui telefon bimbitnya dengan bekas Ketua Hakim Negara yang pada ketika itu merupakan seorang hakim kanan dalam merancang untuk mempengaruhi Dr. Mahathir berhubung urusan pelantikan hakim.

Skandal ini mendapat perhatian meluas media tempatan dan antarabangsa sehingga memaksa Majlis Peguam berdemonstrasi menuntut agar ditubuhkan satu Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kesahihan dan dakwaan dalam rakaman video tersebut.

Setelah mempertimbangkan asakan dan desakan banyak pihak agar dibentuk suruhanjaya penyiasatan bagi menyelidiki kesahihan dakwaan dalam rakaman video ini, kerajaan akhirnya bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Diraja yang dipengerusikan oleh bekas Hakim Besar Malaya, Haidar Mohamed Noor.

Imej Dr. Mahathir semakin terjejas kerana beliau turut diheret sama ke mahkamah bagi memberi keterangan berhubung dengan penyiasatan klip video tersebut. Sepanjang sejarah, ini merupakan kali pertama seorang tokoh yang pernah bergelar Perdana Menteri disapina ke mahkamah untuk didengar keterangannya.

Hasil siasatan suruhanjaya ini menyatakan bahawa ada kemungkinan berlaku kesalahan di sisi undang-undang membabitkan individu yang disebut dalam laporan berkenaan, termasuk Dr. Mahathir sendiri. Menurut Zaid Ibrahim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, suruhanjaya tersebut telah mengenal pasti dan membuat keputusan bahawa rakaman klip itu adalah sahih serta mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap individu-individu yang dikenal pasti dan telah dikatakan melakukan kesalahan tertentu bersabit dengan kandungan rakaman video tersebut.

Keputusan PRU ke-12 pada 8 Mac yang lalu sememangnya sesuatu yang ditunggu oleh Dr. Mahathir. Sebaik saja keputusan rasmi diumumkan, Dr. Mahathir tidak menunggu lama untuk mengecam dan menyalahkan Abdullah atas apa yang berlaku. Secara terbuka, beliau menyeru agar Abdullah mengambil tanggungjawab penuh atas kekalahan teruk Barisan Nasional dengan meletakkan jawatan.

Kekalutan yang menimpa UMNO selepas Mac 2008 telah dimanfaat sepenuhnya oleh Anwar Ibrahim yang mengetuai gabungan parti-parti pembangkang melalui entiti Pakatan Rakyat. Anwar secara terbuka mendakwa bahawa beliau telah memiliki bilangan ahli-ahli Parlimen yang cukup untuk membentuk kerajaan yang baru menjelang tanggal 16 September 2008.

Ancaman Anwar ini menimbulkan keresahan di kalangan para pemimpin UMNO termasuk Dr. Mahathir sendiri. Beliau menggesa agar peralihan kuasa dalam UMNO disegerakan dan Najib Razak mengambil alih kepimpinan dalam usaha untuk menyatupadukan semula UMNO dan Barisan Nasional. Melihatkan tindakan Najib yang perlahan dan kurang bersungguh, Dr. Mahathir mengumpan sokongan terhadap bekas pesaingnya, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon paling ideal menggantikan Abdullah.

Tekanan yang dihadapi oleh Abdullah memaksa beliau mengumumkan tempoh peralihan kuasa yang akan berlaku pada pertengahan tahun 2010. Pun demikian, rata-rata ahli-ahli UMNO bimbang dengan tempoh yang agak lama dan ramai yang mendesak agar ianya dipercepatkan lagi. Tindakan Naib Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin yang secara terbuka mendesak agar proses peralihan tersebut dipercepatkan disambut secara baik oleh ramai pimpinan UMNO.

Abdullah sekali lagi terpaksa akur dan tunduk dengan tekanan ini. Pada bulan Oktober yang lalu, Abdullah mengumumkan bahawa beliau akan mengundur diri pada bulan Mac 2009 dan akan menyerahkan kepimpinan negara kepada Najib.

Kegagalan Anwar merealisasikan 16 September merupakan penawar kepada UMNO terutamanya dalam menghadapi proses pemilihan parti yang dijadualkan pada bulan Mac akan datang. Dr. Mahathir mulai menyatakan sokongan kepada Najib dan turut menzahirkan hasratnya untuk ikut campur tangan sebagai penasihat kepada bakal Perdana Menteri itu.

Apa yang pasti, Najib merupakan harapan terakhir Dr. Mahathir dalam usahanya untuk membersihkan reputasinya yang tercemar dengan segala tindakan bobroknya selama beliau memimpin Malaysia. Menjelang hari-hari tua beliau sebagai antara tokoh yang paling berpengaruh di Malaysia, Dr. Mahathir pastinya mahu mengekalkan legasi yang dibina sepanjang 22 tahun kepimpinannya.

Seperti yang saya katakan, hanya sejarah yang berhak menghargai dan menghukum Dr. Mahathir.

12 تعليقات

‏قال Syahir
Sejarah yang aku lihat tentang perjuangan Tun Dr.Mahathir Mohamad dari awal hingga sekarang adalah terlalu hebat.

Menjadi kolumnis yang bernama Che Det pada zaman mudanya itu telah terbukti melalui sumbangan ideanya demi pembangunan bangsa Melayu yang terpinggir, agama Islam yang ternoda pada zaman sebelum dan pasca Merdeka.

Bagi aku dia seorang yang hebat. Dia selalu menyelamatkan negara dari diperkotak katik oleh kuasa Zionis. Dia selalu mempertahankan MALAYSIA sejak zaman Buy British Last lagi serta menghentam manusia bodoh PM Paul Keating yang memperkecilkan budaya Malaysia. Dia selalu perjuangkan isu Palestin, isu Bosnia Herzegovina, isu Iraq dan byk sumbang jasa ke arah dunia Islam.

Dia antara tokoh paling utama perjuangkan Dinar Islam supaya duit kita tidak bergantung kepada Dollar Amerika di mana sistem kewangan yang ada sekarang adalah hasil warisan Yahudi Zionis Freemason, Rothschild sejak 300 tahun yang lalu.

Pejuangannya menentang KJ adalah usaha yang murni. KJ jadi bayangan di bawah pentadbiran Dollah, mempengaruhi segala keputusan kerajaan serta KJ & the gang byk sabotaj Malaysia. Tanyalah orang2 lama di dalam UMNO.

Mahathir, Pejuangan Mu Belum Selesai.

Selamatkan negara ini dari ancaman musuh Islam serta yang bersekutu dengannya.
‏قال غير معرف…
Syabas kepada penulis kerana berusaha menulis deskripsi tentang ke'firaun'an Mahathir yang patut disedari oleh semua rakyat Malaysia terutamanya penyokong-penyokong kuat beliau. Mungkin ada yang dah lupa apa yang Mahathir dah buat. Dan ada juga yang masih menyanjung Mahathir membuta tuli sehingga sengaja buat tak nampak apa yang dah Mahathir lakukan dalam menyumbangkan kerosakan negara...
‏قال غير معرف…
Salam..
Wow...syabas..saya begitu tertarik dengan urutan dan gaya penceritaan saudara..

Sememangnya saya juga beranggapan sama, bahawa sejak saya dilahirkan dan mula bersekolah, Dr M lah idola yang saya kagumi, tapi semuanya berkecai menjelang Sept 1998. Kebodohan dan kesilapan demi kesilapan beliau mula nampak jelas..rupanya rakyat di saji dengan karakter beliau yang hebat tetapi busuk disebaliknya. Saya tidak mahu menjadi rakyat yang tahu mengangguk sahaja, tapi saya mahu menjadi rakyat yang inginkan keadilan di laksanakan. Saya mangagumi dasar luarnya, tapi apa yang beliau lakukan kepada Malaysia dan DSAI sukar dilupakan sekaligus menghapuskan segala bakat ketokohan beliau.

Biarlah masa dan sejarah menghukum Mahathir.

SHANA
‏قال bumilangit
"siapa mahathir?" - M nasir.
‏قال غير معرف…
hanya satu peristiwa saja yang sebenarnya mendefinisikan mahathir di sebalik cerita2 hebat yg ramai tertipu...

cuba bayar Abramoff untuk jumpa Bush. Semudah itu!
‏قال iman
saya baru di sini..untuk artikel seterusnya saya akan komen.
‏قال Syahir
Hi Hamidun, apa khabar,

Apakah anda juga sengaja buat tak nampak kebaikan Dr.M pada negara?

Tak mengapalah..

Sejarah akan ditentukan oleh setiap kita rakyat Malaysia berdasarkan perspektif masing2.
‏قال غير معرف…
hidup mahathir
‏قال غير معرف…
bersatulah saudara seagamaku! Tiada manusia yang sempurna 100%, timbang - timbanglah mana yang lebih membawa kepada kebaikan.
‏قال غير معرف…
Analisis saudara tepat sekali dan ianya perspektif dari angkatan muda lapan 80 yang matang bawah pimpinan Dr. Mahathir. Saya sendiri adalah seorang perminat dan penyokong Che Det. Tetapi sikap beliau sejak bersara mengubah anggapan saya terhadap beliau.

Saya tidak faham mengapa beliau begitu marah dengan Pak Lah, yang dipilih oleh beliau sendiri sebagai pengganti. Dari seorang yang sentiasa positif, Che Det sudah menjadi “nuisance factor” dalam politik Malaysia abad-21. Ini sedih sekali bagi saya.

Tetapi saya tidak nafikan bahawa Che Det adalah seorang peminpin dan anak Kedah yang luarbiasa. Semasa saya berkhidmat dengan beliau di Kumpulan FIMA (1970s) saya belajar “strategic thinking ala Kenichi Ohmae” dari beliau. Che Det rajin membaca, dedicated, punctual, dan penuh dengan innovative ideas dengan sikap positif. Saya sentiasa rasa terharu atau conflicted apabila saya membuat kritikan terhadap beliau yang saya anggap sebagai hero dari saya kecil lagi di Alor Star.

Selamat Tahun Baru. Ubah sebelum parah, ubah demi maruah.—Pak Din
‏قال غير معرف…
Puak2 erdogan..standardlaaa
‏قال غير معرف…
Puak2 erdogan..standardlaaa
أحدث أقدم