Dalam perjalanan ke Haran, Yaakub berhenti berehat di sebuah kawasan berbatu tatkala matahari sudah terbenam. Manakala terlena, beliau bermimpi melihat sebuah tangga yang hujungnya mencecah ke langit, sambil menyaksikan para malaikat naik turun melalui tangga itu.
Lalu, Tuhan muncul disampingnya seraya berfirman:
"Akulah Tuhan, Tuhan datukmu Ibrahim, dan Tuhan Ishaq; akan Ku-kurniakan tanah tempat kau berbaring ini kepada keturunanmu.
Keturunanmu akan menjadi umpama debu tanah banyaknya, dan akan berkembang ke sebelah timur, barat, utara dan selatan, dan olehmu serta keturunanmu semua kaum di muka bumi akan mendapat keberkatan.
Sesungguhnya Aku bersamamu dan Aku akan melindungimu, ke manapun kau pergi, dan Aku akan membawamu kembali ke negeri ini, kerana Aku tidak akan meninggalkanmu, melainkan Aku telah menunaikan apa yang Ku-janjikan kepadamu."
Yaakub bingkas bangkit dari tidurnya, "Sesungguhnya Tuhan ada di tempat ini, dan aku tidak menyedarinya. Ini tempat yang suci. Ini tidak lain dari rumah Tuhan, pintu gerbang syurga."
Keesokan paginya, sebelum meneruskan perjalanan ke Haran, Yaakub mengambil batu yang digunakannya sebagai alas kepala untuk tidur semalam dan mendirikannya sebagai sebuah tugu lalu menuang minyak ke atasnya. Dinamakan tempat itu Bethel (rumah Tuhan) sambil melafazkan nazar:
"Seandainya Tuhan akan menemani dan melindungi aku sepanjang perjalanan yang kuharungi ini, mengurniakan kepadaku roti untuk dimakan dan pakaian untuk dipakai, sehingga aku selamat kembali ke rumah ayahku, maka akan kuakui Tuhan ini sebagai sembahanku. Dan batu yang kudirikan sebagai tugu ini akan menjadi rumah Tuhan, dan dari segala sesuatu yang Engkau kurniakan kepadaku, aku mempersembahkan se-persepuluh daripadanya kepada-Mu."
Dan Yaakub menyambung perjalanannya ke Haran.