Saya dibesarkan dalam persekitaran Melayu yang kuat. Sejak dari kecil, orang-orang tua dalam keluarga sering memomokkan saya akan bahaya yang dibawa oleh bangsa Cina dan India.
Kata mereka, Cina ini kaum pendatang yang suka menipu dan mahu merampas hak orang Melayu. India pula bangsa yang kuat mabuk, suka mencari gaduh dan melakukan jenayah. Untuk mendukung teori celaka ini maka minda Melayu saya disogok dengan satu kisah puaka yang terjadi empat dekad yang lalu.
(i)
Teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – ini terbawa-bawa sehingga ke alam persekolahan rendah menerusi pergaulan saya yang hanya terbatas dalam kelompok anak-anak Melayu sahaja. Saya tidak berkawan dengan murid-murid bukan Melayu dan sering memandang curiga terhadap apa saja yang mereka lakukan.
Sewaktu darjah lima, seorang teman sekelas (budak Melayu yang saya lupa namanya) membuka kisah 13 Mei. Katanya, ini cerita benar yang didengar dari datuk dan bapa saudara yang (didakwanya) terlibat secara langsung dalam peristiwa tersebut. Saya jadi tertarik dan bertanya lanjut.
Maka dikatakan bahawa waktu itu orang-orang Cina bertindak biadap dan kurang ajar kerana menghina dan mencerca orang-orang Melayu. Orang Cina mengutuk hak istimewa Melayu dan merendah-rendahkan bahasa Melayu. Kerana merasakan bahawa maruah bangsa telah dicabar, orang-orang Melayu mengangkat senjata dan mengamuk dengan menyerang dan membunuh orang-orang Cina yang celupar itu.
Orang Cina bertindakbalas dan turut bertindak agresif. Maka saat itu parang, kayu, keris dan segala macam senjata melayang ke udara, cerita teman saya itu. Tambah beliau lagi (entah betul atau tidak), datuknya juga turut ditetak di dada oleh seorang Cina namun langsung tidak cedera kerana memiliki ilmu kebal yang menyebabkan badannya tidak lut senjata. Saya kagum dan teruja dengan cerita teman saya tadi.
Kemelayuan saya semakin jitu dan teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – kini saya yakini sepenuhnya. Melayu itu hebat, pantang dicabar. Kalau dicabar, nahas!
Di rumah, saya bertanyakan bapa tentang 13 Mei. Kata beliau, waktu itu dia masih kecil dan tidak tahu menahu kerana peristiwa itu hanya berlaku di Kuala Lumpur sedangkan beliau menetap di Pahang. Tiba-tiba, bapa saya bercerita tentang Tun Razak, Dasar Ekonomi Baru dan UMNO.
Sekali lagi, teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – bergema dalam minda saya. Ya, saya Melayu. Saya bangga jadi Melayu!
Hidup Melayu!
(ii)
Sewaktu bersekolah menengah, saya sekelas dengan ramai pelajar berbangsa Cina. Kesan daripada puaka 13 Mei ini, saya kekok dan sukar bergaul dengan pelajar-pelajar lain yang bukan berbangsa Melayu. Saya hanya senyap dan menyendiri di dalam kelas sehinggalah saya ditegur oleh seorang anak Cina yang fasih berbahasa Melayu.
Budak Cina ini bernama Tan Chien Liang. Dia anak orang kaya yang dihantar dan dijemput setiap hari oleh pemandu keluarganya. Ya, bapanya ahli perniagaan dan memiliki rumah banglo yang mewah.
Mulanya saya prejudis dan gemuruh dengan budak Tan ini. Puaka 13 Mei dan teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – masih lagi bersarang dalam benak Melayu saya. Namun demikian, lama kelamaan saya mulai senang dengan Tan. Dia baik dan tidak menipu. Setiap kali saya terlupa membawa wang belanja, dia akan meminjamkan wangnya untuk saya beli makanan di kantin. Dia juga tidak akan beri jawapan kepada saya setiap kali saya cuba menirunya waktu peperiksaan. Tidak baik katanya.
Kami bersahabat. Macam belangkas, kata pelajar-pelajar lain. Dan saya semakin terlupa akan teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – yang sering dimomokkan oleh orang-orang tua dalam keluarga saya. Saya senang dengan Tan. Dia fasih bercakap Melayu. Dia suka makanan Melayu. Dan dia juga menaruh cinta pada gadis Melayu!
Suatu hari, Tan bertanyakan saya tentang Islam. Dia mahu saya mengajarkannya perihal Islam. Katanya, dia suka berkawan dengan saya sebab saya baik. Sebab dia nampak orang Islam baik. Saya terpinga. Namun saya bersetuju.
Maka saya pun mula belajar dan pada masa sama mengajar Tan tentang Islam. Saya kaji Al-Quran, saya baca hadith. Oh, rupanya semua manusia ini bersaudara. Semua manusia ini berasal dari Adam. Melayu, Cina dan India rupanya manusia bersaudara. Cuma faktor sejarah, geografi dan budaya yang membezakan mereka. Hakikatnya – menurut pembacaan saya itu – semua manusia bersaudara.
Tiba-tiba teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – cuba menyerang kesedaran yang baru terbina. Ada bisikan puaka yang mengingatkan saya tentang 13 Mei. Tentang kebiadapan Cina terhadap Melayu. Tentang kehebatan Melayu yang tak lut senjata. Tentang keris. Tentang Hang Tuah. Bisikan puaka ini menyuruh saya menafikan kenyataan bahawa manusia itu bersaudara dan sememangnya Cina penipu dan India suka cari gaduh.
Ah, tak mungkin! Tan baik orangnya. Dia tidak pernah menipu saya. Dia jujur sewaktu jawab peperiksaan dan dia mahu belajar tentang Islam. Dia suka berkawan dengan saya sebab saya juga baik kepadanya.
Dan bisikan puaka 13 Mei serta teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – mendiamkan diri. Barangkali bengang kerana saya tidak melayani.
(iii)
Di universiti, saya belajar kejuruteraan. Sewaktu hari pertama kuliah – waktu sesi memperkenalkan diri – seorang budak India bernama Ganesan dengan bangganya mengatakan beliau seorang ateis.
Selepas kuliah, saya menghampiri Ganesan dan bertanyakannya kenapa dia tidak meyakini Tuhan. Dia hanya tersenyum sambil menyatakan bahawa dia sebenarnya masih dalam pencarian ke arah kebenaran. Saya berjabat tangan dengannya dan kami ke kafé untuk minum. Cukup mengejutkan kerana Ganesan juga fasih bertutur Melayu!
Ganesan, meski tidak percayakan Tuhan merupakan seorang siswa yang pintar. Dia rajin dan tidak lokek berkongsi pengetahuannya dengan saya. Dia juga tanpa silu selalu meminjamkan saya tugasan kuliah untuk ditiru. Kata Ganesan, hidup ini mesti tolong-menolong.
Setiap petang selepas kuliah, saya akan melepak di kafé dan bertukar cerita dengan Ganesan. Kami akan berbual pelbagai isu termasuk agama, politik, budaya dan sukan. Saya terharu tatkala Ganesan menyatakan bahawa dia amat mengagumi adat dan kebudayaan orang Melayu. Kata Ganesan, orang Melayu merupakan bangsa paling budiman dan halus pekertinya. Ganesan juga meminta tolong saya untuk memikat seorang siswi Melayu yang diminatinya.
Pengetahuan dan keprihatinan Ganesan terhadap budaya dan adat Melayu mendorong saya untuk mendalami budaya dan adat masyarakat India pula. Maka saya mengkaji dan menelaah makalah-makalah sejarah tentang ketamadunan India silam. Agak menarik kerana rupa-rupanya, pembinaan tamadun Melayu banyak dipengaruhi dan berasal dari tamadun Hindu klasik dari India.
Saya teruja sebaik mengetahui bahawa asal moyang orang-orang Melayu dahulunya menganut ajaran Hindu dan bertutur dalam bahasa Melayu yang disaring dari perkataan-perkataan Sanskrit. Parameswara, pengasas kesultanan Melayu Melaka juga asalnya merupakan seorang Hindu sebelum diislamkan oleh saudagar Arab yang berdagang di Melaka.
Keterujaan saya pada ketika itu sekali lagi cuba digugat oleh bisikan puaka 13 Mei dan teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – namun ianya gagal lagi. Ungkapan ‘Ketuanan Melayu’ dan ‘Hidup Melayu’ dipandang sepi oleh jiwa saya yang semakin mengerti hakikat kemanusiaan.
Ganesan dan saya kekal akrab. Meskipun dia ateis dan saya aktivis gerakan mahasiswa Islam, rutin minum petang di kafé selepas kuliah kekal diteruskan sehingga tamat pengajian.
(iv)
Hari ini, puaka 13 Mei sudah tidak mahu mendampingi saya lagi. Ianya telah jauh menghilangkan diri. Teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – juga sudah tidak wujud dalam kematangan intelektual saya.
Selepas 8 Mac 2008, percubaan sesetengah pihak yang masih meyakini teori celaka – Cina penipu dan India suka cari gaduh – untuk menghidupkan semula puaka 13 Mei jelas sekali gagal. Manipulasi media untuk meracuni akal budi rakyat dengan menyemai sentimen kebencian melalui ego perkauman sememangnya keji dan menjengkelkan.
Saya bertuah kerana telah melalui kerencaman pergaulan sejak dari alam persekolahan rendah sehingga ke peringkat universiti dengan mengenali pelbagai bentuk karakter dan individu tanpa mengira latar bangsa dan kepercayaan. Semakin saya cuba untuk menegakkan ego kebangsaan dan keangkuhan ras, semakin terbentang ruang dan kesempatan untuk saya mendekati kepelbagaian dan keindahan multi-budaya.
Puaka 13 Mei dan pendekatan politik yang berlandaskannya harus dibunuh terus oleh kita semua. Teori celaka yang mewujudkan persepsi negatif terhadap ras-ras tertentu juga wajib disingkirkan daripada terus melatari keharmonian dan kelangsungan hidup warga negara ini.
Malaysia ini milik semua. Milik saya, Tan, Ganesan dan anak-anak cucu kami yang bakal mewarisinya nanti.
fikir2 kn lah.sekian. assalam.
Teruskan berjuang.
Tetapi yang amat saya sedih apabia bangsa kita bila maju tak biasa lagi berdamping dengan orang kampung. Bila diberi projek lebih mudah rasanya berkongsi dengan bangsa lain sehingga lebih suka projek di Ali-baba. Pernah saya baca .. dimana dalam tulisan bahasa inggeris.. Race (yakni bangsa) juga bermaksud bersaing, bukan dalam erti kata negatif, tetapi hanya orang melayu boleh ambil berat nasib Agama dan Bangsa sendiri. Sebagai contoh, org asli yg telah jauh ketinggalan dalam segala segi , jarang sekali kita dengar hak mereka diperjuangkan kerana mereka tiada Representative dlm politik. Akhir kata mereka org asli ini berasal di sini sama dengan kita, mereka beri hak berkerajaan pada kita, namun lihat apa jadi pada mereka. Lihat kawasan Bandar Damansara, dahulu kwsn org asli, apa bhgn mereka dlm kemajuan di sana? Kosong.. begitu nasib org melayu bila menyerahkan nasib sendiri pada bangsa lain.
cabul betul mlut..udah2 le mengutuk org kt facebook..
cabul betul mlut..udah2 le mengutuk org kt facebook..
Saya tidak pernah ditampar dgn selipar. Yg ditampar dgn selipar ialah sdr Hazrin, teman seasrama dgn saya.
Saya ditampar kerana menegur sikap Cikgu Bahar yg gemar mencarut dan menampar pelajar-pelajar tanpa sebab.
Terima kasih atas ingatan sdr. Tp saya kira lebih baik bermulut cabul menyatakan yg benar dari berjiwa bacul mcm sdr. Malu ke nak letak nama sendiri?
-Najwan
just a reminder 4 u..kalau nak mengkritik sesuatu,adalah lebih baik saudara memeriksa akan kebenaran sesuatu perkara tersebut terlebih dahulu..
tak boleh tgk kat sebelah pihak je kan??sgt lah tak WISE..
don't make urself look stupid and shallow..ok?
terima kasih.
~jamal
tapi, sekurang2nya anda perlu tahu, pepatah melayu kerana mulut badan binasa.
mungkin orang melayu juga boleh dibunuh di negara China ataupun dimana-mana negara jika memepertikaikan atau menghina bangsa asal negara tersebut.
saya melihat anda menulis bukan kerana penyatuan bangsa, tetapi lebih untuk mempromosi parti DAP dalam tujuan politik pembangkang anda.
jujurlah.
Yazid, Puchong
I am really glad that I came across your article although it may be a little late considering you posted it last year. I must say I am really touched by it.
Just like in any community there are good people and bad people. There are also smart and stupid people. Honestly, I do hope Malaysia will have more young people like you and I hope someday more of you will emerge as leaders whom everyone regardless of background will respect whole heartedly. In my opinion, most Malaysians are really peace loving and fair-minded. I hope that this racial politics will die-out one day and Malaysians will live in harmony without any mistrust with one another.