Di penghujung Januari saya wisata ke Filipina, sebetulnya (hanya) beberapa kota dalam linkungan Metro Manila. Bersama saudara Amin – kami kembara secara santai, tanpa merancang penginapan, tanpa perincian ongkos yang teliti. Mujur ada kenalan yang bekerjaya di bandar Ortigas, dan secara kebetulan, beberapa orang teman dari Malaysia sedang partisipasi kursus kepimpinan di bandar Makati. Maka penginapan kami – meski sulit dan melecehkan – agak selesa, memuaskan.
Amin tiba lebih awal di sana dan menjemput saya dengan teksi seawal jam lima pagi di lapangan terbang. Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Manila hanya memakan masa sekitar empat jam, anehnya – tanpa rasa letih dan bosan. Petuanya: pilih penerbangan tambang murah Filipina. Saya berani jamin, kecantikan anak-anak kapal dalam penerbangan tersebut takkan bisa membuat anda bosan dan kantuk!
Di Ortigas, teman kami Sani – seorang pakar runding kewangan – merencana lawatan ke Bank Pembangunan Asia (ADB), institusi kewangan tempat beliau mengembangkan kerjayanya. ADB, yang berpusat di kota Mandaluyong berperanan sebagai bank yang berorientasikan pembangunan multilateral, khusus dalam pembasmian kemiskinan di negara-negara Asia.
Ditubuhkan pada tahun 1966 dengan dukungan oleh 31 buah negara, ADB kini telah berkembang dan dianggotai lebih 60 buah negara. Selain terlibat dalam projek-projek pembangunan semula di Afghanistan, ADB turut giat berperanan sebagai pemangkin kerjasama dan integrasi ekonomi serantau di Asia Tenggara; antaranya projek Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) dan projek Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).
Saya dan Amin seterusnya ke kota Makati, mengunjungi teman-teman yang menyertai kursus kepimpinan di Institut Pengurusan Asia (AIM) di Paseo de Roxas. Kami kemudiannya mundar-mandir sekitar pusat beli-belah mewah Greenbelt yang letaknya hanya 200 meter dari AIM. Saya kira Greenbelt – yang dibangun oleh Ayala Corporation milik keluarga Zóbel de Ayala – merupakan pusat beli-belah terhebat di Asia Tenggara utamanya dari aspek senibina dan perancangan lanskap.
Greenbelt, yang dibuka pada tahun 1980-an merupakan pusat beli-belah pertama di Filipina yang dibangun dengan menampilkan elemen mewah seta citarasa tinggi kosmopolitan, dilengkapi dengan restoran, pusat hiburan, kemudahan digital dan pasaraya runcit. Dibina di atas tapak seluas sekitar 1.3 juta kaki persegi, Greenbelt menzahirkan suasana hijau penuh nyaman kepada pengunjung melalui gugusan kafé serta pusat hiburan yang terletak di celah-celah hutan buatan di tengah-tengah pusat beli-belah tersebut. Keseluruhan kompleks beli-belah Greenbelt terbahagi kepada lima iaitu Greenbelt 1, 2, 3 dan 4 yang merangkumi dua ruangan beli-belah tertutup, dua ruangan santai dan libur yang terbuka (termasuk ruangan hutan buatan) serta paling baru, Greenbelt 5 – dibuka pada tahun 2007.
Di Greenbelt 5, kami dihoskan oleh seorang kenalan Filipina – peguam muda yang menumpu khidmat dalam perundangan jenayah. Kami dijamu makan malam di Fely J’s, sebuah restoran yang menghidangkan sajian Filipina dan Asia. Restoran ini dinamakan bersempena dengan mendiang Felicidad de Jesus-Cruz, ibu kepada tokoh pengusaha restoran terkenal Filipina, mendiang Lorenzo J. Cruz. Mendiang Lorenzo, atau lebih dikenali sebagai ‘Larry’ di Filipina, merupakan pengasas Kumpulan Restoran LJC, pengusaha beberapa buah restoran dan kafé ternama di negara itu – antaranya Café Adriatico dan Café Havana.
Di Fely J’s, kami menikmati sajian makanan laut dan beberapa hidangan tempatan yang dimasak seumpama hidangan Malaysia; ala stim, sos taufu dan berencah ikan masin. Tatkala sedang makan, kami bicara pelbagai isu bersangkut politik, ekonomi, sejarah dan hiburan.
Secara kebetulan, sewaktu bertukar gosip mengenai Echo – hero Filipina yang agak terkenal di Malaysia menerusi telenovela Sana’y Wala Nang Wakas dan Pangako Sa ‘Yo – teman Filipina saya memaklumkan keberadaan Heart Evangelista, mantan pacar Echo yang turut bersantai bersama beberapa orang temannya di Fely J’s. Nyata sekali, Heart – aktres muda berusia 25 tahun – yang saya tonton di kaca televisyen kelihatan jauh lebih menarik dan jelita secara in person! Agak malang kerana saya gagal merakam sebarang foto dengan beliau lantaran menghormati privasinya bersama teman-teman.
Malam pertama di Makati tak berakhir di Fely J’s. Bersama teman-teman lain (yang ikut kursus), kami bersantai di kafé-kafé sekitar kawasan hutan buatan di Greenbelt 3. Beberapa kelompok minum malam sambil menikmati muzik di Café Havana, manakala kami menyambung sembang dengan beberapa orang personaliti politik yang muda-muda di kafé Seattle’s Best Coffee.
Kehidupan malam di sekitar Greenbelt kurang lebih seperti di Jalan P. Ramlee dan Bukit Bintang, riuh dan seakan hanya mahu berhenti menjelang dinihari. Dalam hingar muzik, jejaka-jejaka kulit putih dan gadis-gadis Pinoy serta maknyah-maknyah jelek bertebaran memenuhi Greenbelt 3. Mereka berdansa, bercumbu rayu dan bermabuk-mabukan sebelum dipapah ke kamar hotel.
Kami terus berwacana, minum kopi dan bertahan selewat yang mampu. Dan bilamana kami dihurung kantuk dan mahu kembali ke kamar penginapan, hingar muzik di Greenbelt 3 masih belum berhenti.