Ke Mana Kita dengan ‘Anak Malaysia’?

Saya fikir ada banyak isu lain yang lebih penting dan memerlukan keutamaan ketimbang gimik untuk mendaftarkan anak yang baru lahir dengan identiti bangsa 'Anak Malaysia'. Timbul juga hujah lucu, kononnya tindakan ini sebagai langkah 'awal' untuk menghapuskan politik perkauman dan diskriminasi yang diterap dalam sistem pentadbiran sedia ada.

Menjadi Melayu, Cina, India, Cindia (istilah bagi anak kacukan Cina-India), Iban dan sebagainya sebenarnya bukanlah suatu yang bermasalah meski ada kerisauan seolah-olah pengkelasan identiti kaum sebegini bakal mengundang diskriminasi dan kesukaran kepada anak tersebut di masa hadapan.

Sebetulnya yang wajar dibicara dan dipolemikkan adalah sistem yang menunjangi diskriminasi itu sendiri. Ini bukan soal 'kedudukan istimewa' Melayu atau tuntutan samarata oleh bukan Melayu, tapi yang lebih mustahak adalah – ke mana hala tuju anak-anak di negara ini jika yang diheboh-heboh oleh ibu bapa mereka masih lagi berkisar soal bangsa dan perkauman?

Asas kewujudan dan ketamadunan manusia, sejak zaman-berzaman adalah cukup jelas – yakni semuanya diidentitikan menerusi pengenalan kaum dan etnik. Ini tidak salah. Tak sama sekali. Yang menjadi masalah adalah bila mana wujud kecenderungan untuk bersifat angkuh dan ta'asub dengan identiti tersebut.

Sejarah telah mencatatkan, umpamanya dasar Apartheid di Afrika Selatan yang dikecam hebat oleh masyarakat antarabangsa yang waras. Dasar ini diwujud dan dipertahan oleh pemuka-pemuka kulit putih di Afrika Selatan bukan kerana dasar ini bagus atau hebat sebaleknya kerana wujud keangkuhan dan sifat ketuanan oleh penguasa-penguasa kulit putih ini terhadap subjek pentadbiran mereka yang majoritinya berkulit hitam. Seolah-olah berkulit hitam itu suatu kehinaan.

Maka sebaik tokoh anti-Apartheid, Nelson Mandela dibebaskan dari penjara dan menang jawatan presiden Afrika Selatan, dasar yang mendiskriminasi itu dimansuh dan dibatalkan serta merta. Pada masa sama, identiti etnik di kalangan rakyat Afrika Selatan maseh dikekalkan dan kerukunan hidup bernegara di antara warga kulit hitam dan kulit putih dipulihkan. Ini semua memerlukan iltizam politik yang tinggi dan jitu. Bukan sekadar gimik murahan dan retorik picisan.

Kitab suci turut merakamkan misalan bila mana keangkuhan dan keta'asuban pada ketuanan kaum menjadi punca krisis di kalangan makhluk Tuhan. Di dalam Al-Qur'an, pada ayat ke-61 hingga 63 dalam Surah Al-Israa' diriwayatkan kisah pengingkaran Iblis terhadap Tuhan. Kisah yang dihuraikan secara ringkas di dalam Al-Qur'an ini boleh dibaca dengan lebih terperinci di dalam kitab Injil Perjanjian Lama dalam bab Genesis.

Menurut riwayat, sebaik sahaja Tuhan selesai menciptakan Adam di syurga, telah diperintahkan agar seluruh malaikat supaya sujud sebagai tanda hormat dan memuliakan Adam selaku makhluk baru yang bakal diangkat sebagai khalifah di Bumi. Para malaikat taat dan patuh namun terdapat satu makhluk bernama Iblis yang enggan menuruti arahan tersebut. Iblis bersoal jawab dengan Tuhan dan berhujah mempertahankan tindakannya tidak mahu sujud kepada Adam. Dengan penuh angkuh, Iblis mendakwa adalah tidak layak bagi dirinya untuk sujud dan memuliakan Adam memandangkan dia (Iblis) dicipta daripada unsur api sedangkan Adam dicipta dengan unsur tanah. Arakian Iblis mendakwa dirinya lebih mulia dan tinggi darjat ketimbang Adam. Kesan daripada keangkuhan dan sifat ta'asub terhadap unsur kejadiannya itu, maka Tuhan mengusir Iblis keluar dari syurga dan digolongkan oleh Tuhan sebagai kafir.

Justeru, soal pendaftaran bangsa anak dengan nama 'anak Malaysia' ini sewajarnya tidak dibingkaikan dalam gimik sebegitu. Apa yang lebih penting adalah komitmen dan dedikasi semua terutamanya pimpinan politik, aktivis sosial dan gerakan massa untuk mendobrak sistem sedia ada yang bersifat diskriminatif dan tidak lagi relevan dalam lanskap sosio-politik negara masa kini.

Tidak kira sama ada anak-anak kita memakai nama bangsa Melayu, Cina, India dan sebagainya, apa yang mustahak adalah dengan mengajar dan mendidik mereka bahawa semua bangsa tak kira dari negara atau wilayah mana adalah sama tarafnya di sisi Tuhan. Jangan sekali-kali kita benarkan sifat angkuh dan naluri ketuanan kaum menguasai minda mereka demi menjamin kerukunan hidup di negara ini.

Polemik 'Anak Malaysia' tidak akan membawa kita ke mana-mana. Yang harus diperjuangkan adalah reformasi sistem supaya ianya menjadi lebih baik dan memberdayakan. Diskriminasi tidak akan lenyap hanya dengan menghapuskan identiti kaum semata-mata. Sejarah telah pun membuktikannya.

Post a Comment

أحدث أقدم