Dem Deutschen Volke.
Begitu, inskripsi yang tercatat pada pedimen di atas anjung utama bangunan Reichstag di Berlin. Jika diterjemah, ianya kurang lebih membawa erti ‘Demi Rakyat Jerman’. Sewaktu pertama kali saya melintasi bangunan ini, saya tidak dapat menyembunyikan rasa teruja dan ghairah untuk meneroka dan menjejak segenap ruang binaan penuh bersejarah ini. Reichstag, binaan gah yang menyaksikan sejarah jatuh bangun Jerman terletak berdekatan Gerbang Brandenburg. Senibina asalnya yang bercirikan elemen neo-Renaisans masih terpelihara dan cukup mempesona.
Sebaik melapor diri di kaunter keselamatan Bangunan Paul Lobe (bangunan baru yang menempatkan pejabat ahli-ahli parlimen, dinamakan bagi mengingati Paul Lobe, Presiden Reichstag terakhir era Republik Weimar), saya dijemput oleh Igor, salah seorang petugas di pejabat ahli parlimen Parti Sosial Demokrat Jerman. Taklimat ringkas diberikan oleh Janine, juga petugas di pejabat sama tentang skop dan perincian tugas sepanjang saya menjalani perantisan di sini. Janine kemudiannya membawa saya melawat ke seluruh kawasan Deutscher Bundestag bermula dari Bangunan Paul Lobe, Bangunan Marie-Elisabeth Luders, Bangunan Jakob Kaiser, seterusnya ke Reichstag dan berakhir di kubah kaca.
Bangunan Paul Lobe menempatkan sekitar 500 buah bilik pejabat bagi kegunaan ahli-ahli parlimen pembangkang serta para petugas mereka. Menurut Janine, setiap ahli parlimen di Bundestag (seramai 622 orang), tidak kira dari parti yang memerintah ataupun pembangkang akan diberi dana peruntukan sebanyak 12,000 Euro (kira-kira RM48,000) setiap bulan bagi menampung kos pentadbiran pejabat serta pembayaran emolumen kakitangan. Ini ternyata berbeza dengan layanan serta pendekatan yang diamalkan oleh kerajaan Malaysia terhadap ahli-ahli parlimen pembangkang. Di Jerman, peranan ahli-ahli parlimen adalah lebih jelas iaitu sebagai pembuat undang-undang dan juga sebagai penyemak-imbang kepada semua dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan. Dan bukan sebagai ‘tukang’ selesai masalah rakyat seperti yang difahami dalam konteks Malaysia!
Ketiga-tiga kompleks bangunan Paul Lobe, Marie-Elisabeth Luders dan Jakob Kaiser ini dihubungkan antara satu sama lain menerusi jejambat dan laluan bawah tanah yang kompleks. Sewaktu sesi penerangan dan lawatan ke seluruh bangunan ini, Janine sendiri terpaksa merujuk kepada peta bangunan untuk menentukan arah tuju kami. Apa yang menarik pada ketiga-tiga bangunan ini adalah rekaan senibinanya yang berelemen moden dengan kepingan kaca sebagai dinding yang melitupi setiap sudut. Pengunjung akan dapat melihat secara terus aktiviti kerja di setiap pejabat ahli parlimen dari luar menerusi dinding kaca tersebut. Dari ruang pejabat saya, misalnya, saya bisa menikmati pemandangan Sungai Spree yang indah dan mendamaikan.
Di Bangunan Marie-Elisabeth Luders (dinamakan bersempena ahli politik wanita pertama yang dipilih sebagai ahli parlimen dari Parti Liberal Jerman), selain pejabat sebilangan kecil petugas parlimen, ianya juga turut menempatkan sebuah perpustakaan parlimen (ketiga terbesar di dunia), pusat arkib, jabatan dokumentasi media dan juga pusat penyelidikan yang menjadi pusat pencarian maklumat oleh para petugas serta mahasiswa yang membuat kajian tentang pengajian politik dan pentadbiran parlimen. Manakala Bangunan Jakob Kaiser (dinamakan bersempena pengasas Parti Kesatuan Demokratik Kristian Jerman) pula merupakan kompleks pejabat yang paling besar. Selain ruangan pejabat kepada lebih 2,000 kakitangan parlimen, bangunan ini turut menempatkan pejabat Naib Presiden Bundestag, jabatan penulisan hansard, pejabat media serta studio televisyen dan radio Bundestag. Kebanyakan ahli-ahli parlimen yang membentuk kerajaan mendapat kemudahan pejabat di bangunan ini manakala ahli-ahli parlimen pembangkang kebanyakannya akan berpejabat di Bangunan Paul Lobe.
Dari Bangunan Jakob Kaiser, Janine akhirnya membawa saya masuk ke bangunan Reichstag menerusi laluan bawah tanah. Reichstag merupakan istilah yang digunapakai pada era Republik Weimar yang merujuk kepada Parlimen atau dewan perbincangan. Saya bangkitkan rasa keliru tentang penggunaan dua istilah iaitu Reichstag dan Bundestag – istilah manakah yang lebih tepat sebagai rujukan kepada makna Parlimen? Jawab Janine, Reichstag boleh dirujuk sebagai binaan yang menaungi demokrasi manakala Bundestag pula adalah sebagai institusi yang menggerakkannya. Kini, istilah Deutscher Bundestag telah digunakan bagi merujuk kepada Parlimen Jerman dan ianya dikuatkuasakan di bawah Undang-Undang Asas Jerman 1949.
Bangunan berusia 117 tahun yang mulai dibina pada 1884 ini masih utuh meskipun pernah dibakar pada 1933 dan dirosakkan oleh tentera Soviet sewaktu Perang Dunia Kedua. Menurut Janine, semenjak tahun 1894, Reichstag telah menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa penting dalam sejarah pembinaan negara Jerman moden. Pada 1918, Philipp Scheidemann telah mengisytiharkan pembentukan Republik Weimar (yang merangkumi Jerman, Poland dan sebahagian kecil Russia) dari salah satu jendela di bangunan Reichstag. Peristiwa ini berlaku setelah Canselor Imperial, Putera Maximilian Wilhelm mengumumkan pengosongan takhta Kaiser Wilhelm II pada tengah hari tersebut. Kesan dari Perang Dunia Pertama, Republik Weimar terus berkembang menuju ke arah menjadi sebuah negara demokratik liberal. Susulan dari itu, pada 1919, satu Perhimpunan Nasional diadakan di Weimar di mana perlembagaan baru telah digubal dan digunapakai bermula bulan Ogos, tahun yang sama.
Sepanjang lawatan di dalam Reichstag, saya mengesan contengan atau grafiti pada beberapa segmen di dinding bangunan. Janine menjelaskan bahawa pada tahun 1945, ketika Perang Dunia Kedua, Reichstag menjadi sasaran serangan udara Tentera Merah dari Soviet. Kesan daripada serangan-serangan ini telah mengakibatkan bangunan Reichstag mengalami kerosakan teruk. Ini ditambah pula dengan kerosakan asal yang masih belum diperbaiki kesan daripada kebakaran pada 1933. Lebih malang adalah tatkala Soviet berjaya menawan Jerman; pasukan Tentera Merah telah menceroboh dan merosakkan sebahagian besar Reichstag serta menconteng dinding dalam bangunan ini dengan pelbagai kata cacian dan penghinaan kepada bangsa Jerman. Menurut Janine, kesan contengan atau grafiti itu sengaja dikekalkan oleh pentadbiran Bundestag untuk tatapan generasi akan datang dan sebagai simbolik kepada sejarah jatuh bangun bangsa Jerman.
Tambah Janine lagi, sewaktu era Perang Dingin, bangunan Reichstag berada dalam lingkungan wilayah Jerman Barat, dan hanya dipisahkan dengan jarak beberapa meter saja dari sempadan Jerman Timur dengan Tembok Berlin. Dalam tempoh tersebut, bangunan Reichstag mulai dibaikpulih dan bermula pada tahun 1973, ianya menjadi pusat pameran bagi pengkisahan sejarah Jerman, dan juga menyediakan kemudahan dewan mesyuarat kepada kumpulan ahli-ahli parlimen dan badan-badan kerajaan lainnya.
Pada 3 Oktober 1990, bangunan Reichstag telah dipilih sebagai tuan rumah bagi acara sambutan rasmi Penyatuan Jerman. Sehari selepas itu, sesi pertama Bundestag telah diadakan di Reichstag yang menyaksikan perhimpunan seluruh ahli-ahli parlimen dari Jerman Barat dan Jerman Timur. Pada 20 Jun 1991, – dalam sesi perdebatan yang hangat dan panjang – dengan 338 undi mengatasi 320 undi, Bundestag yang bersidang di Bonn telah memutuskan supaya sesi persidangan Bundestag akan datang dan yang seterusnya selepas itu dipindahkan ke bangunan Reichstag di Berlin. Menurut Janine, semenjak perpindahan Bundestag dari Bonn ke Berlin, lebih dari 30 juta pengunjung telah melawat Reichstag dan ini menjadikan Parlimen Jerman sebagai satu-satunya parlimen yang paling kerap dilawati di dunia.
Janine kemudiannya membawa saya ke bahagian paling atas iaitu di aras yang menempatkan sebuah kubah kaca. Jelas beliau, kesan Perang Dunia Kedua, kubah Reichstag turut dimusnahkan. Maka pada 1992, Sir Norman Foster, seorang arkitek Inggeris telah dipilih untuk mengetuai proses membina dan menaiktaraf struktur bangunan Reichstag. Dalam cadangan penaiktarafan itu, pihak pentadbiran Bundestag juga telah bersetuju dengan cadangan pembinaan sebuah kubah kaca moden di atas aras tiga bangunan Reichstag. Kubah baru ini dilengkapi dengan kemudahan laluan pejalan kaki dan dibuka kepada orang awam sebagai salah satu daya tarik pelancongan. Dari tapak kubah ini, pengunjung akan dapat menikmati pemandangan kota Berlin dari aras ketinggian 47 meter serta berpeluang mengelilingi keseluruhan kubah melalui laluan spiral sepanjang 230 meter yang dibina pada struktur dalaman kubah.
Dari tapak kubah tersebut, saya dapat menyaksikan secara terus pemandangan di dalam Dewan Plenari (Plenary Chamber) yang terletak langsung di bawah struktur kubah. Seperti mana struktur bangunan Paul Lobe, Marie-Elisabeth Luders dan Jakob Kaiser, Dewan Plenari ini juga dilitupi dengan kepingan kaca, justeru setiap sesi persidangan akan dapat disaksikan secara terus oleh pengunjung tanpa sebarang halangan. Sama ada pengunjung menyaksikan persidangan parlimen dari tapak kubah atau memerhati dari luar binaan kaca yang menutupi Dewan Plenari, hakikat simboliknya adalah Bundestag Jerman di bangunan Reichstag ini adalah terbuka untuk tatapan seluruh pengunjung khususnya warga Jerman. Dan menerusi pendekatan inilah, menurut Janine, ahli-ahli Bundestag mengotakan ikrar mereka seperti yang tertera pada pedimen di atas anjung utama bangunan Reichstag iaitu – DEM DEUTSCHEN VOLKE.