Kulturkampf

Dua minggu kebelakangan ini banyak terisi dengan pelbagai interaksi dan aktiviti yang membentuk perspektif saya dalam wacana silang budaya serta pemahaman baru tentang sejarah perkembangan Jerman. Dalam satu sesi pertemuan dan perbincangan dengan beberapa personaliti muda di Stuttgart minggu lalu, saya berpeluang membina jaringan kenalan baru, kebanyakannya berasal dari Timur Tengah dan sebilangan kecil lagi dari Jerman. Kami berbahas tentang beberapa tema kontroversi termasuklah persoalan pertembungan agama, nilai, tradisi dan budaya yang diamalkan di negara masing-masing.

kluturkampf
Sumber gambar: mercatornet.com

Saya terkesan dengan penglibatan aktif Hiba, gadis Arab asal Jerusalem yang menetap di Arab Saudi namun memegang kerakyatan Jordan. Beliau tanpa apologetik meluahkan kritikan terhadap konservatisme ekstrim yang diamal oleh kerajaan Arab Saudi serta diskriminasi ke atas golongan wanita, namun pada masa sama tetap mempertahankan nilai Islam serta tradisi yang mendukung aspirasi intelektual dan moral masyarakat.

Manakala Bilal, anak muda asal Lubnan yang faseh bertutur bahasa Jerman juga mencuri perhatian sepanjang sesi perbincangan. Beliau menceritakan pengalamannya mendewasa sebagai saksi kepada perang saudara yang panjang di Lubnan serta impaknya terhadap keluarga dan perkembangan intelektual beliau. Berasal dari keluarga besar dengan sejumlah sepuluh orang adik-beradik menjadikan beliau cekal dan lebih berdikari.

Berkelulusan dalam disiplin kejuruteraan, Bilal memilih untuk berkerja sebagai seorang pustakawan di Lubnan dengan alasan ‘lebih mudah untuk membaca dan menimba ilmu secara percuma’. Dari situ beliau belajar bahasa Jerman – menerusi pembacaan dan merujuk kepada kamus terjemahan. Dan kini beliau memiliki sijil asas untuk mengajar bahasa Jerman kepada pelajar tahap pertama.

Saya turut berkongsi beberapa hal melibatkan permasalahan budaya yang terkait agama khususnya yang melanda Malaysia seperti isu kepala lembu, penggunaan nama Allah oleh kelompok Kristian, serbuan terhadap gereja Methodist di Damansara Utama serta kontroversi seksualiti yang hangat diperkatakan kebelakangan ini. Tatkala Malaysia mahu menzahirkan imej sebagai sebuah negara Islam moden dan progresif, namun pada masa sama isu-isu sensitif begini maseh gagal ditangani dan diselesaikan oleh pemerintah sehingga mewujudkan jurang luas di kalangan rakyat pelbagai agama dan budaya.

Saya memetik istilah kulturkampf dalam menghurai situasi di Malaysia; dan ianya mungkin sedikit sebanyak ada persamaan dengan konflik di antara Gereja Roman Katolik dengan pemerintah Prussia sewaktu era Otto von Bismarck dalam menangani sekularisme dan otoriti agama pada tahun 1870-an.

Di Jerman kini, suasananya cukup berbeda. Urusan agama dan moral adalah soal individu dan bukan tertakluk di bawah kawalan pemerintah. Di kalangan peserta wacana, Lena, lulusan sains politik dari Universiti Frankfurt yang kini bertugas di sebuah institut kajian budaya di Stuttgart turut berkongsi cerita. Lena muda sedikit dari saya – awal 20-an barangkali. Dan beliau – bersama dengan teman lelakinya – kini memiliki seorang bayi perempuan berusia 15 bulan. Mereka tinggal serumah dan membesarkan bayi itu bersama-sama. Saya kaget. Ini situasi yang (pada pandangan saya yang sangat konservatif ini) janggal sekali jika di Malaysia. Lena menjelaskan bahawa kehidupan mereka ‘sekeluarga’ cukup baik; kerajaan memperuntukkan pelbagai elaun kebajikan buat pasangan yang memiliki dan membesarkan anak. Menurut beliau, setiap bayi yang dilahirkan bakal menerima elaun sekitar 200€ (sekitar RM800) setiap bulan manakala ibu bapa bayi tersebut menerima elaun sebanyak 300€ setiap bulan bagi tujuan penjagaan.

Persoalan tentang Yahudi dan beban sejarah yang dipikul oleh Jerman pasca Perang Dunia Kedua turut disentuh dan saya berkongsi pengalaman serta persepsi peribadi seputar lawatan ke Muzium Yahudi di Berlin beberapa hari sebelum itu.

Sepanjang lawatan selama lebih enam jam ke muzium tersebut, saya mengesan betapa terderanya bangsa Jerman dalam memikul apa yang disebut sebagai collective guilt (kebersalahan bersama) pasca Perang Dunia Kedua.

Penindasan dan kezaliman di era pemerintahan Parti Sosialis Nasional (Nazi) pimpinan Adolf Hitler sememangnya menjadi beban sejarah terhadap warga Jerman hari ini. Ini disusuli dengan perlaksanaan dasar denazification (penyah-Nazi-an) oleh Kuasa Bersekutu dalam menghapus dan menyingkir semua elemen berkaitan fahaman sosialisme nasional yang menjadi teras kepada perjuangan Parti Nazi dalam struktur sosial masyarakat Jerman. Perlaksanaan dasar ini turut melibatkan aspek kebudayaan, media, ekonomi, kehakiman dan politik. Sebarang pengaruh atau organisasi berkaitan Nazisme adalah diharamkan.

Asas kepada collective guilt ini secara khusus adalah lantaran penindasan serta kezaliman Nazi terhadap masyarakat Yahudi di Jerman. Di Muzium Yahudi Berlin, ruang pameran dibahagi kepada tiga segmen utama iaitu Paksi Buangan (Axis of Exile), Paksi Holokaus (Axis of the Holocaust) dan Paksi Kelangsungan (Axis of Continuity).

Dua segmen awal iaitu Paksi Buangan dan Paksi Holokaus memaparkan dokumentasi sejarah pada era Nazi termasuklah barangan peribadi dan dokumen mangsa yang diusir dan diekstradisi ke kem tahanan (concentration camp) – kebanyakan dari mereka dibunuh dengan kejam. Saya turut merasai sendiri pengalaman berada di dalam Menara Holokaus (Holocaust Tower), berketinggian sekitar 25 meter yang dahulunya digunakan untuk mengurung orang-orang Yahudi di kem-kem tahanan. Sumber cahaya adalah terhad dan hanya masuk melalui bukaan kecil di atas bumbung manakala sistem pengudaraan pula adalah menerusi sebilangan lubang kecil bersaiz sebesar penutup botol air mineral.

Segmen Paksi Kelangsungan pula membawa kepada pameran-pameran utama iaitu sejarah perkembangan bangsa Yahudi di Jerman seawal abad ke-12, adat resam dan tradisi meliputi urusan kekeluargaan, budaya dan perniagaan, era Pencerahan yang melahirkan filasuf-filasuf seperti Moses Mendelssohn dan Baruch Spinoza sehingga ke era pasca Perang Dunia Kedua yang menyaksikan pergelutan dan kulturkampf masyarakat Yahudi menempatkan komuniti mereka dalam arus ketamadunan Jerman moden. Saya menyatakan kekaguman dan rasa takjub terhadap pentafsiran serta keterbukaan yang dizahirkan oleh warga Jerman dalam menghargai, menginsafi dan menyantuni sejarah ketamadunan mereka. Tanpa silu dan malu, mereka bisa mengangkat dan memartabat warisan sejarah – baik yang cerah mahupun yang gelap – dan menjadikannya sebagai aspirasi pembangunan dan kemajuan.

Kini, Jerman adalah kuasa ekonomi utama di Eropah. Realitinya, perspektif silang dan jamak budaya di Malaysia maseh jauh ketinggalan. Selagi subjek kulturkampf ini tidak direnungi dan ditangani, selama itulah Malaysia akan terus bergelut dengan persoalan remeh-temeh yang hanya akan menjurus kepada perpecahan dan pertembungan kepercayaan di antara rakyat dan pemerintah.

2 تعليقات

‏قال غير معرف…
Tertarik saya dengan penulisan kamu, ayat dari awal mengajak saya ingin membacanya sehingga perenggan terakhir, idea dan pendapat bagus. Hebat!
‏قال Najwan Halimi
Terima kaseh! :)
أحدث أقدم