Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menzahirkan kegembiraan di Twitter dan Facebook atas kelahiran seekor anak beruang panda di Zoo Negara.
Sumber gambar: phys.org |
Liang Liang, ibu panda yang dirujuk oleh Najib di dalam tulisan beliau itu merupakan salah seekor dari dua ekor panda yang dihadiahkan oleh kerajaan China tahun lalu sebagai simbol hubungan diplomatik 40 tahun Malaysia-China. Seekor lagi bernama Xing Xing.
Najib teruja dan gembira meraikan kelahiran anak panda itu. Namun begitu, kegembiraan Najib itu ternyata tidak dikongsi oleh majoriti pengikut akaun media sosial beliau.
Jika dibaca respon yang dimuatnaik, rata-rata dari mereka bersikap sinis dan memperolok-olok kenyataan Najib.
Barangkali masyarakat sudah mulai tidak peduli dengan hal panda yang suatu ketika dulu pernah menjadi tumpuan umum. Mutakhir ini, dengan pelbagai isu dan krisis yang melanda pentadbiran negara, rakyat semakin bersikap sinis dan kritis terhadap apa jua yang mereka baca dan apa yang dilaporkan oleh media kepada mereka.
Rakyat kini semakin resah dan beremosi dengan isu yang melanda negara, bermula dari tragedi kehilangan pesawat MH370, pemenjaraan Anwar Ibrahim, skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri.
Rakyat juga bimbang apabila melihat pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ditahan serta segala isu berkaitan “derma” wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib dan juga kemerosotan nilai Ringgit.
Ini dirumitkan lagi bila mana penjelasan terhadap isu penting melibatkan kepentingan negara dan rakyat tidak ditangani dengan sewajarnya.
Rakyat melihat tiada ketelusan dan kejujuran di pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah dan menambah baik kualiti kehidupan mereka.
Kenaikan kos sara hidup, peningkatan kadar pengangguran dan jenayah yang berleluasa terus mendera dan menghimpit kehidupan mereka.
Najib perlu meletakkan keutamaan yang sewajarnya dalam pentadbiran beliau. Hal-hal mendesak membabitkan tata kelola ekonomi dan urus tadbir perlu ditangani secara serius dan beriltizam.
Kepimpinan adalah amanah dan tanggungjawab. Ia bukan sesuatu yang boleh diambil ringan dan dilaksana secara main-main atau seronok-seronok.
Usah biarkan emosi rakyat sampai ke satu tahap di mana mereka akan terus-terusan memandang sinis dan memperolok-olokkan kepimpinan beliau. Keutamaan seseorang pemimpin adalah rakyatnya.
Jangan sampai panda dari China disusukan, rakyat sendiri sengsara kelaparan.