Tatkala dalam pesawat, saya menghimbau 2016 -- satu tahun yang amat bermakna.
Khidmat awam kekal jadi rutin selain kesibukan sebagai pelajar sarjana dan tanggungjawab khusus suami dan bapa. Alhamdulillah, Najasyi mulai belajar bicara meski maseh pelat mengungkap kata yang ada ketika kedengaran sulit untuk difahami.
Kenangan paling manis pastinya kejayaan kontinjen Selangor menjuarai Sukan Malaysia di Sarawak pada Julai lalu juga penghormatan menghadiri istiadat pertabalan DYTM Tengku Amir sebagai Raja Muda Selangor.
Politik sentiasa penuh dengan ketakjuban. Hingga kini saya maseh terkesan dengan 'perdamaian' Anwar Ibrahim dan Dr. Mahathir Mohamad -- yang sememangnya di luar jangka. Ini disusuli penubuhan Bersatu dan pemeteraian kerjasama bersama Pakatan. Benarlah politik ini sememangnya seni serba mungkin!
Kebobrokan tatakelola, kepincangan dan rasuah kekal jadi barah yang merosakkan. Rakyat terus sengsara dihimpit pelbagai beban kenaikan. Oh ya, dan menjelang 2017 harga petrol akan naik lagi!
Manakala keutamaan kita wajar ditumpu membantu usaha agar negara ini kembali pulih, kita perlu kekal menganjurkan toleransi dan semangat keterbukaan dalam budaya bangsa dan kepercayaan agama yang amat rencam.
Moga kehidupan kita semua akan lebih bahagia dan bermakna pada tahun 2017 dan moga Malaysia mampu kembali bangkit dan pulih dari krisis politik dan kepincangan tatakelola yang membebani hidup rakyat selama ini.